TORONTO – Pasukan tuan rumah, Kanada menggalas misi memburu kemenangan sulung pada saingan Piala Dunia 2026 apabila bakal membuat perhitungan menentang Bosnia Herzegovina bagi aksi Kumpulan B di Stadium Toronto awal pagi esok.
Beraksi di gelanggang sendiri, skuad kendalian Jesse Marsch terdesak untuk mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penganjuran Piala Dunia meskipun sudah dua kali layak sebelum ini pada 1986 dan 2022.
Pemain sayap Les Rouges, Liam Millar menyuarakan kemahuan serta keazaman untuk membantu pasukan itu mencatat kemenangan, lebih-lebih lagi mereka akan bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Secara jujur, saya rasa seperti sukar untuk percaya apabila Kanada dapat menjadi penganjur saingan Piala Dunia. Ketika masih kecil, memang saya tidak pernah gambarkan Kanada dipilih sebagai tuan rumah.
“Sekarang kami akan berikan segala-galanya untuk memastikan semua rakyat Kanada bangga dan gembira. Semua pemain sudah bersedia untuk memberikan segala-galanya sebaik sahaja saingan bermula,” katanya.
Bagaimanapun, persiapan Kanada bagi mengharungi aksi sulung sedikit terencat apabila kapten pasukan, Alphonso Davies dan tonggak pertahanan, Moise Bombito mungkin tidak dapat diturunkan gara-gara kecederaan.
Sementara itu, Jayden Nelson yang dibawa masuk ke dalam skuad bagi menggantikan Marcelo Flores menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan aksi di laman sendiri sebagai pembakar semangat ketika bertemu Bosnia. – AGENSI














