fbpx

4 dalang utama ‘scam’ barang kemas tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai empat individu yang disyaki dalang utama kes penipuan jual beli barang kemas dalam talian tumpas dalam serbuan dua alamat berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya percaya dengan penangkapan ini, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan telah berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM17,100.

“Suspek berusia 26 hingga 45 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan manakala seorang lagi wanita pemastautin tetap.

“Kita juga merampas enam unit telefon bimbit, dua kad ATM, satu kad akses dan tujuh helai salinan perbualan Whatsapp yang disyaki digunakan untuk kegiatan terbabit,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun 2022 dengan mewujudkan kumpulan di Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas.

“Kumpulan yang dikenal pasti di Telegram adalah Emas Harga Lelong, Kedai Emas Merchant Lelong, Kedai Emas Harga Lelong, Kedai Emas Mira Gold, Kedai Lelong Emas Rozita 916, Kedai Emas Harga Lelong Shah Alam, Emas Murah Taufik dan Kedai Emas Zakaria.

“Sementara di Instagram, Kedai Emas Lelong Maya 916, Emas Lelong Anuar, Kedai Emas Lelong 916, Emas Murah Sangat dan Emas Rozita Ipoh,” ujarnya.

Mengulas lanjut modus operandinya, mangsa yang berminat dengan barang kemas diiklankan akan dihubungi oleh sindiket dan diarahkan untuk membuat bayaran ke akaun tertentu.

“Selepas pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima oleh mangsa.

“Kesemua suspek disyaki berperanan sebagai dalang utama dan merupakan pemilik keldai akaun yang digunakan dalam kegiatan penipuan berkenaan.

Jelasnya lagi, suspek telah direman selama dua hari dan berakhir semalam manakala, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai boleh membuat rujukan dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) atau hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI