fbpx

Zambry kecam pemimpin Sweden bakar al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Islamofobik ekstrem seorang pemimpin Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran dalam kejadian yang berlaku kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataan berkata, Malaysia turut kesal dengan sikap kerajaan Sweden yang tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikannya.

“Ia tidak boleh diterima sama sekali walaupun ada beberapa bantahan daripada pelbagai pihak dan boleh memberi kesan serius hubungan Sweden dengan umat Islam sejagat,” katanya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataan turut mengutuk keras tindakan Paludan yang membakar naskhah kitab suci itu di Stockholm, Sweden.

Tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, Malaysia juga menggesa kerajaan Sweden agar mengambil tindakan serius segera terhadap Paludan untuk memerangi sentimen Islamofobia.

“Tindakan keji pelaku ini jelas serangan secara terang-terangan ke atas Islam dan umat Islam seluruh dunia yang melampaui batas moral serta kebebasan bersuara.

“Perasaan ketaasuban selain perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci tanpa kira mana-mana agama, adalah tidak boleh diterima serta wajar dikutuk keras,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI