fbpx

Mahkamah Persekutuan batal kelulusan projek perumahan lereng bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Persekutuan Putrajaya

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membatalkan kelulusan yang diberikan kepada sebuah pemaju perumahan bagi projek perumahan di lereng bukit di Pulau Pinang.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim iaitu Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang selepas membenarkan rayuan penduduk Sungai Ara di Pulau Pinang.

Panel terbabit turut mengarahkan Sunway City dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dinamakan sebagai responden agar masing-masing membayar kos sebanyak RM300,000.

Terdahulu, sewaktu membacakan penghakiman ringkas Hakim Nallini menyatakan mahkamah terdahulu terkhilaf apabila gagal mengambil kira tujuan sebenar Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 yang dengan jelas melarang sebarang penggunakan kawasan berbukit bagi sebarang tujuan pembangunan seperti perumahan, hotel, komersial mashupun perladangan.

“Ini sejajar dengan objektif utama Pelan Struktur terbabit. Pengecualian terhadap larangan itu perlu dilihat dari sudut tujuan dan secara terhad agar tidak menyimpang daripada Pelan tersebut yang mana objektif utamanya adalah untuk memmelihara kawasan berbukit, mengelakkan degradasi dan mengekalkan keseimbangan ekologi.

“Oleh itu kami merumuskan bahawa kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan bagi permohonan Sunway kelulusan perancangan adalah ultra vires (melangkaui undang-undang) dan terbatal,”ujar Hakim Nallini ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian.

Selain itu, panel turut menyatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA).

Untuk rekod, pada 20 November 2015, Lembaga Rayuan di bawah TCPA 1976 telah membenarkan bantahan penduduk Sungai Ara, Pulau Pinang terhadap kelulusan projek dan kebenaran merancang yang diberikan oleh MBPP kepada pemaju terbabit.

Bagaimanapun, Sunway City memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu yang mana pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan keputusan Lembaga Rayuan dan mengesahkan kelulusan yang MBPP.

Pada 21 Mei 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan terbabit selepas menolak rayuan penduduk. Kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan diperoleh penduduk pada 30 November 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI