fbpx

Bapa dakwa belajar ambil dadah dengan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki (kanan) dan anaknya (kiri) ditahan di dalam serbuan dadah di Gurun pada pagi ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 53 tahun mendakwa terjebak dengan masalah ketagihan dadah selepas terpengaruh dengan anak lelakinya berusia 26 tahun.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu turut mendakwa mengambil dadah kerana tertekan disebabkan masalah rumah tangga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, dua beranak itu antara 48 individu yang dicekup dalam serbuan di dua sarang penagihan dadah di daerah Kuala Muda, awal pagi ini.

Katanya, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bermula pukul 3 pagi hingga pukul 11 pagi tadi.

“Serbuan pertama dilakukan di ladang kelapa sawit di Gurun dekat sini melibatkan penahanan dua beranak terbabit. Apa yang mengejutkan, lelaki itu mendakwa dia belajar ambil dadah daripada anaknya kerana tertekan selepas bercerai dengan isteri,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, dua beranak itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mendapatkan wang daripada ahli keluarga serta sering bertemu di ladang kelapa sawit untuk menggunakan dadah bersama.

Anuar berkata, dalam serbuan berasingan di ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima, seorang datuk kepada lima cucu ditahan selepas dia disyaki memasuki kawasan berkenaan untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Dia memberi alasan tidak masuk akal iaitu mahu membeli roti canai di ladang itu untuk dijadikan sarapan pagi ahli keluarganya,” ujarnya.

Tambahnya, dalam operasi tersebut, polis turut menahan seorang wanita dengan rampasan dadah jenis heroin seberat 26.15 gram (g) bernilai RM915 dan syabu seberat 1.2g yang bernilai RM120.

“Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 58 tahun itu dibawa ke IPD Kuala Muda untuk proses saringan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI