fbpx

20 pejabat pengeluar pasport dibuka Sabtu Ahad untuk atasi kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (kiri) membuat lawatan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Pasport KLIA di Long Term Car Park KLIA di sini, hari ini.- Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengoperasikan sejumlah 20 buah pejabat pengeluar pasport terpilih di Semenanjung Malaysia pada setiap Sabtu dan Ahad bagi mengatasi kesesakan teruk kaunter dokumen berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengambil maklum keluhan rakyat berhubung isu kesesakan itu dan mengumumkan langkah proaktif dengan 20 premis pengeluaran pasport JIM akan dibuka mulai 28 Januari ini.

“Langkah ini merupakan projek rintis yang telah beroperasi sejak 16 Disember tahun lalu bagi mengurangkan kesesakan di beberapa pejabat pengeluar pasport JIM.

“Sepanjang tahun lepas, berlaku lonjakan 25 peratus pengeluaran pasport iaitu kepada 2,574,435 naskhah berbanding tahun 2021 dan secara purata, JIM sudah mengeluarkan 210,000 naskhah setiap bulan atau kira-kira 10,000 naskhah pasport di seluruh negara pada 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan diiringi Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di sini, hari ini.

Pejabat terpilih itu akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari dan boleh datang terus ke kaunter sama ada untuk permohonan baharu atau membuat pembaharuan.

Antara pejabat pengeluar pasport yang terlibat beroperasi pada Sabtu dan Ahad adalah di Putrajaya selain Jalan Duta dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Shah Alam, Kajang, Kelana Jaya, Puchong, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Tempat-tempat lain pula meliputi pejabat JIM di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Kedah yang ditentukan berdasarkan rekod data aliran permohonan pasport selama ini.

Kesemua 20 premis itu ujar Saifuddin lagi, akan terus dibuka pada hujung minggu sehinggalah isu kesesakan kaunter JIM berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya.

Pada ketika ini jelas beliau, pihak JIM merekodkan kira-kira 45 peratus permohonan secara online diterima dan jumlah itu turut membantu mengurangkan kesesakan di kaunter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI