fbpx
KELONG Paradise terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor.

Resort tengah laut tular ‘syurga’ buat kaki pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENELUSURI perjalanan selama 15 minit menaiki bot dari Jeti Kelong di Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak, Selangor, mata tertancap melihat sebuah bangunan konkrit berwarna kelabu di tengah laut.
Perasaan bercampur-baur antara pelik dan kagum selepas melihat kewujudan bangunan yang teguh berdiri di perbatasan sempadan laut dalam itu.

Dalam terpegun melihat persekitaran bangunan, suara seorang lelaki menyapa mengatakan bahawa bangunan tersebut merupakan sebuah kelong dikenali sebagai Kelong Paradise Waterfront Resort atau Kelong Paradise.

Menurut lelaki itu yang juga merupakan Pegawai Operasi Kelong Paradise, Mohd. Syaiful Syafiq Ahmad, bangunan tersebut merupakan lokasi tumpuan pemancing dan salah satu tempat tarikan pelancong di Sabak Bernam.

“Kelong Paradise merupakan ‘syurga’ bagi pemancing yang gemar memancing di laut. Kelong yang dibina di tengah laut ini merupakan antara tempat kunjungan kaki pancing.

“Saya boleh katakan, ini merupakan kelong konkrit pertama yang dibina untuk kegunaan orang awam melakukan aktiviti memancing. Pada masa sama, mereka boleh bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan di tengah laut,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambah lelaki berusia 36 tahun itu, berbeza dengan kelong lain, bangunan itu bukan sekadar menyediakan tempat memancing.

Jelasnya, ia turut dilengkapi bilik penginapan, ruang seminar dan pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan pelawat.

Kelong milik Kerajaan Negeri Selangor ini turut dilengkapi tempat permainan untuk kanak-kanak.

Diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), bangunan milik Kerajaan Negeri Selangor itu telah dibuka kira-kira lebih 20 tahun lalu.

Salah satu keunikan bangunan tiga tingkat itu adalah kedudukannya yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Bagan Nakhoda Omar.

Biasanya, kelong dibina antara satu hingga dua kilometer dari kawasan pesisir pantai.

Kongsi Mohd. Syaiful Syafiq yang juga merupakan kakitangan MDSB, keunikan itu menyebabkan Kelong Paradise sering menjadi pilihan pemancing yang ingin mencuba nasib di laut pada kedalaman antara enam hingga tujuh meter.

“Kemudahan di sini bukan sahaja disediakan buat pemancing. Malah, kami juga cuba memberi keselesaan kepada mereka yang ingin menginap dan membawa keluarga di sini.

“Oleh itu, kami menyediakan bilik untuk pasangan, keluarga yang berkonsepkan dorm.

“Kami juga mempunyai bilik mesyuarat dan seminar yang dilengkapi dengan kemudahan projektor, selain ruang solat, bilik air, tempat makan dan kawasan santai keluarga serta permainan kanak-kanak,” ujarnya.

Tambahnya, tempoh tempahan untuk memancing di Kelong Paradise terhad untuk tempoh 24 jam sahaja.

Ulasnya, pengunjung akan dijemput di jeti sekitar pukul 9 pagi dan pulang waktu sama pada keesokan harinya.

Harga pakej memancing yang ditetapkan juga berpatutan iaitu bermula RM150 hingga RM180 seorang.

Harga berkenaan termasuk makanan, manakala untuk penginapan pula akan dikenakan caj tambahan iaitu bermula dari RM20 hingga RM150 semalam.

Berkongsi tentang aspek keselamatan di kelong, Mohd. Syaiful Syafiq memberitahu, perkara tersebut paling diberi perhatian terutama berhubung penyelenggaraan bangunan.

“Kami sentiasa menambah baik dan memastikan semua infrastruktur kelong terjaga. Setiap minggu, kami akan ‘turun padang’ untuk melakukan pemeriksaan dan membaik pulih sebarang kerosakan.

“Selain itu, di sekitar kelong turut dipasang pagar jaring bagi menjamin keselamatan bukan sahaja pemancing tetapi kanak-kanak yang turut menginap di sana,” katanya.

Tambahnya lagi, selain aspek keselamatan, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam turut mementingkan kelestarian hidupan laut di sekitar kawasan kelong menerusi pelaksanaan projek pelepasan tukun.

Projek itu bertujuan bagi membentuk habitat baharu ikan di kawasan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada keseimbangan populasi hidupan dan ekosistem laut.

Selama dua dekad teguh menjadi tumpuan pemancing, ramai kaki pancing terutama di kawasan Sabak Bernam menjadikan Kelong Paradise sebagai lubuk memancing pilihan.

SEORANG pengunjung berjaya mendaratkan seekor ikan sewaktu memancing di Kelong Paradise.

Berpengalaman berdepan ribut ketika memancing di laut, seorang kaki pancing, Mohd. Azizul Akmal Ismail, 40, memberitahu, memancing di kelong berkenaan lebih selamat terutama ketika berdepan badai mengejut.

“Di sini, saya merasakan pengalaman yang berbeza memancing di tengah laut berbanding menggunakan bot. Ini kerana ia lebih stabil seperti sedang memancing di darat.

“Dengan binaan konkrit yang kukuh, sekiranya berdepan badai kami boleh berlindung dan bangunan juga tidak bergoyang,” kongsinya.

Tambahnya lagi, kelebihan itu memberi keyakinan kepadanya untuk membawa keluarga bercuti bersama di atas kelong sambil berkongsi minat memancingnya dengan anak-anak.

Selain itu, pengalaman sama turut dirasai oleh Razani Hassim, 42, yang gemar ke Kelong Paradise kerana menawarkan pelbagai spesies ikan bersaiz besar.

Katanya, kawasan laut di sekitar kelong tersebut terdapat banyak jenis ikan popular, antaranya jenahak, kerapu, bawal, pari, senangin, gelama dan demuduk.

“Di sini, ada banyak ikan menarik. Bagaimanapun, aktiviti memancing ini bergantung kepada nasib.

“Meskipun kelong ini dibina di atas kawasan laluan ikan, jika cuaca tidak baik, umpan tidak akan dimakan.

“Tetapi jika beruntung, saya dan kawan-kawan boleh dapat pari dan kerapu. Kami pernah dapat ikan dengan berat keseluruhan mencecah ratusan kilogram di sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN