fbpx
ZAMANI

Semangat baharu Zamani, bagai mati hidup semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH berada di kemuncak populariti, impak masalah tulang belakang sejak 15 tahun lalu mengakibatkan semangat Zamani Ibrahim turut memudar bersama waktu.

Kini penghibur kesayangan ramai itu kembali bangkit dengan semangat baharu demi kerjaya serta insan sekeliling yang tidak putus memberi sokongan.

Bagai mati hidup semula, Zamani menganggap keputusan menjalani pembedahan bagi memperbaiki penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung pada November tahun lalu umpama menyuntik nyawa baharu.

Selepas bertahun-tahun dihimpit kesakitan selain dilingkungi perasaan rendah diri menebal kerana berasa tidak sempurna, akhirnya penyanyi itu kini mampu tegak berdiri.

BERKAT doa dan sokongan ramai, penyanyi kesayangan ramai ini bangkit daripada dibelenggu penyakit skoliosis.

Hidup tanpa ubat sakit

Kata figura berusia 52 tahun itu, dia tidak menyangka dapat kembali menikmati hari tanpa mengambil pil penahan sakit atau dikasihani banyak mata yang memandang.

“Memang saya rasa seperti orang baharu sampaikan dapat terus berjalan sebaik tersedar daripada kesan ubat bius usai pembedahan.

“Padahal sepatutnya perlu ambil masa beberapa hari untuk mula berjalan, sekali gus membuatkan doktor pun anggap sebagai keajaiban.

“Mungkin suntikan semangat orang sekeliling yang diterima sebelum masuk ke dewan bedah buat saya terlupa masih dalam pemantauan. Alhamdulillah, langkah pertama buat saya tambah semangat,” katanya sambil tersenyum.

Tidak tegak 100 peratus

Melihat perkembangan dalam tempoh dua bulan selepas pembedahan, akui pelantun lagu hit Gerimis Mengundang itu, biarpun tidak dapat berdiri seperti orang lain, mampu berjalan tanpa membongkok sudah rahmat besar buatnya.

“Dari mata kasar boleh nampak saya berjalan agak senget, sebenarnya itu disebabkan saya masih belum dapat tinggalkan tabiat ketika bongkok dulu.

“Meskipun tulang belakang tidak dapat tegak macam keadaan normal, saya boleh saja berjalan seperti biasa. Moga ‘habit’ yang bertahun saya lalui dapat perlahan ditinggalkan,” ujarnya yang memaklumkan dia perlu rajin membuat latihan fisioterapi.

KEHADIRAN tahun baharu dianggap sebagai permulaan segar buat Zamani untuk kembali merancakkan karier seninya.

Bengkak kaki

Biarpun sudah dua minggu mengalami bengkak kaki, Zamani tetap memenuhi undangan ke studio Media Mulia bagi merealisasikan pelawaan mengadakan sesi fotografi khas bersama Pose baru-baru ini.

Melangkah yakin ditemani isteri tercinta, Nur Juliana Abd. Rani, 39, yang kini bertanggungjawab sebagai pengurusnya, dari jauh sudah terserlah senyuman manis penyanyi itu.

Menahan kesakitan akibat bengkak kesan pembedahan selain sukar duduk bagi tempoh lama juga bukan alasan untuk Zamani terperuk di rumah.

“Saya tak boleh berdiri atau duduk lama terutama terperuk di dalam kenderaan untuk perjalanan jauh.

“Saya sudah dapatkan penjelasan doktor mengenai keadaan ini kerana bimbang membabitkan penyakit lain seperti jantung atau buah pinggang.

“Harapnya ini kesan sementara saja. Buat masa ini doktor minta saya berehat dulu, kalau muncul pun sekadar penampilan singkat atau bukan di lokasi luar ibu negara,” katanya.

ZAMANI berharap tiada lagi kemelut dengan pengurusan lama, dia juga yakin persahabatan dengan bekas pengurusnya mampu kekal seperti dulu.

Mutu nyanyian terjejas

Luah vokalis kumpulan Slam itu lagi, kesan pembedahan turut menjejaskan mutu persembahan nyanyiannya.

Tahap vokalnya turut terkena tempias sehinggakan dia sukar menyampaikan lagu bernada tinggi mahupun rendah.

“Mujur peminat memahami keadaan saya dan tidak langsung mempersoalkan perkara itu, cuma saya enggan menjadikan masalah ini sebagai alasan,” katanya.

Melihat hari depan dengan lebih terbuka, bagi Zamani perkara paling penting sekarang adalah memberi semula kepada masyarakat terutama mereka yang senasib dengannya.

Memahami ramai dalam kalangan pesakit tidak mempunyai sumber kewangan untuk menjalani pembedahan seperti dirinya sebelum ini, dia mengakui nasibnya lebih baik.

Bantuan kewangan dan sokongan moral diterima saat diri nyaris terduduk membuatkan Zamani ingin menabur semula bakti buat mereka yang memerlukan di luar sana.

MENJADIKAN isteri sendiri sebagai pengurus, Zamani melihat itu lebih memudahkan kerja dari segi keserasian dan logisitik.

“Saya pernah berada di posisi itu (krisis kewangan). Tiada tabungan untuk jalani pembedahan yang besar kosnya sedangkan keadaan diri sudah semakin kronik.

“Pada masa sama ada juga pesakit dimomokkan bahawa pembedahan bukan jalan akhir yang mengakibatkan impak lebih teruk apabila tulang senget mencucuk organ lain.

“Keadaan sebegini yang ingin saya bantu supaya insan senasib mampu kembali menjalani hidup normal,” katanya yang sedia diundang berkongsi pengalaman berkaitan penyakit itu kepada orang ramai.

Sebelum menggulung bicara, penyanyi yang sangat serasi dengan imej rambut panjang lurus dan berkaca mata hitam itu mengumumkan isterinya kini mengambil alih tugas sebagai pengurus.

“Isteri saya adalah pengurus saya sekarang. Segala pertanyaan mahupun undangan boleh dikemukakan terus kepadanya.

“Syarikat ZNJ Entertainment yang mengendalikan semua hal membabitkan kerjaya seni saya,” ulas Zamani sebelum menggulung perbualan tempoh hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN