fbpx

Bebas keluar masuk China bermula semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang beratur di kaunter kastam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou Xiaoshan di wilayah Zhejiang, semalam. - AFP

BEIJING – China menamatkan keperluan kuarantin wajib untuk penumpang ketibaan antarabangsa semalam sekali gus menamatkan sekatan tiga tahun yang mengasingkan negara itu dari dunia luar ketika bergelut dengan peningkatan kes Covid-19.

Beijing pada bulan lalu memulakan langkah dramatik yang melonggarkan beberapa sekatan bagi dasar sifar Covid yang sebelum ini menjadikan kuarantin sebagai prosedur wajib di samping perintah berkurung.

Dasar berterusan itu telah mencetuskan protes dalam kalangan rakyat sebelum ia dilonggarkan selepas dilihat memberi kesan besar kepada negara dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Ketika mula menamatkan peraturan kuarantin bagi penumpang antarabangsa, seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai, Pang, memberitahu AFP bahawa dia berasa gembira dengan penamatan peraturan itu.

“Bagi saya, ia adalah sesuatu yang bagus kerana dasar tersebut telah berubah. Ia lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Pang merupakan antara rakyat China yang berpusu-pusu ke lapangan terbang untuk ke luar negara selepas pegawai pada bulan lalu mengumumkan penamatan prosedur kuarantin sekali gus menyebabkan beberapa laman web pelancongan menjadi tumpuan ramai.

Namun, peningkatan dalam jumlah pelancong dari China itu telah membuatkan banyak negara di seluruh dunia mula melaksanakan prosedur ujian saringan Covid-19 terhadap penumpang-penumpang dari negara itu bagi mencegah penularan gelombang baharu.

Beijing bagaimanapun menganggap peraturan tersebut sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan bemotifkan politik semata-mata.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, pagar-pagar halangan yang sebelum ini diletakkan untuk memisahkan ketibaan penumpang domestik dan antarabangsa telah tiada.

Pegawai-pegawai berpakaian sut hazmat berwarna putih yang selama ini menjadi pemandangan biasa di lapangan terbang juga telah ‘hilang’, menandakan penamatan sekatan ketat di negara itu.

Dalam masa sama, beberapa negara Asia telah bersiap sedia untuk berdepan kemasukan pelancong dari China yang turut dirasai oleh peniaga-peniaga di lokasi pelancongan popular.

“Kami akan mengupah pekerja tambahan dan meningkatkan stok makanan yang dijual,” kata Son Kyung-rak, yang merupakan seorang peniaga gerai jalanan di daerah tumpuan pelancong di Seoul, Myeongdong.

“Pelancong dari China adalah pelanggan utama kami. Lebih ramai, lebih meriah,” ujarnya lagi.

Bagi seorang rakyat China, Zhang Kai pula, dia merancang untuk melancong ke Jepun atau Korea Selatan meskipun perlu menjalani prosedur saringan ketat di negara-negara itu.

“Beberapa rakan dan keluarga telah mendarat di Jepun dan menjalani beberapa prosedur, namun itu semua adalah perkara kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, penduduk Hong Kong turut memenuhi laluan-laluan masuk ke tanah besar China selepas sekatan dilonggarkan semalam.

Sehingga 50,000 penduduk pulau itu dijangka menyeberang sempadan setiap hari di tiga pusat pemeriksaan darat selepas mendaftar secara online.

Selain itu, 10,000 lagi dibenarkan memasuki tanah besar China melalui jalan laut, udara atau jambatan-jambatan tanpa perlu mendaftar dengan lebih awal, kata Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI