fbpx

Gangguan elektrik punca ribuan terkandas di lapangan terbang Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang menunggu maklumat tentang penerbangan mereka di terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Pasay, Metro Manila. - AFP

MANILA – Berpuluh-puluh ribu pelancong terkandas di lapangan terbang Manila, Filipina semalam selepas berlakunya gangguan elektrik yang menyebabkan peralatan komunikasi dan radar terjejas.

Pihak berkuasa penerbangan telah mengesan ‘isu teknikal’ pagi semalam melibatkan pusat pengurusan trafik udara di lapangan terbang domestik dan antarabangsa Manila.

Lebih 360 penerbangan masuk dan keluar dari Manila sama ada dibatalkan, dialihkan atau ditangguhkan, sekali gus menjejaskan kira-kira 56,000 penumpang.

Gangguan itu melanda ketika ramai orang mula kembali ke Manila untuk bekerja dan bersekolah selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Berlaku adegan huru-hara di kaunter daftar masuk di seluruh negara apabila beribu-ribu pelawat cuba menempah semula tiket atau ingin mengetahui bila pesawat mereka akan berlepas.

Penumpang yang sudah menaiki pesawat sebelum gangguan itu diumumkan telah menunggu selama berjam-jam sebelum diarahkan turun.

Setiausaha jabatan pengangkutan, Jaime Bautista berkata, pusat pengurusan trafik udara yang mengawal penerbangan masuk dan keluar, terjejas disebabkan gangguan bekalan elektrik yang mengakibatkan kehilangan komunikasi, radio, radar dan internet.

“Masalah kedua ialah lonjakan kuasa akibat gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan peralatan,” katanya.

Pihak berkuasa lapangan terbang berkata, sebahagian sistem pengurusan trafik udara telah dipulihkan pada pukul 4 petang (waktu tempatan) dan penerbangan mula berlepas dan mendarat di Manila.

“Kelambatan dan pengalihan penerbangan hanyalah langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI