TORONTO – Pemain pertahanan Jerman, Jonathan Tah menyuarakan keyakinan pasukan itu mampu melangkah jauh pada saingan Piala Dunia 2026 selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Juara dunia empat kali itu menempah slot ke pusingan 32 terbaik selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast pada aksi Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Toronto awal pagi semalam.
Dua gol menerusi pemain gantian, Deniz Undav di separuh masa kedua memastikan Jerman berjaya memadam gol awal Ivory Coast yang dijaringkan Franck Kessie, sekali gus mengutip tiga mata berharga.
“Kami menunjukkan kekuatan mental yang cukup baik selain bermain sebagai satu pasukan. Bagi saya, itulah antara aspek yang diperlukan untuk mana-mana pasukan berjaya dalam setiap kejohanan disertai.
“Kami langsung tidak mengaku kalah selain menaruh sepenuh keyakinan bahawa pasukan lawan mungkin akan buat silap. Kami hanya bersabar dan kemasukan Deniz (Undav) membawa tuah buat pasukan,” katanya.
Sementara itu, Undav menyuarakan rasa gembira apabila dua jaringan yang dilakukan membantu Jerman untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2014.
“Di sini kita semua boleh lihat bahawa pemain simpanan juga mampu menjadi penentu dalam setiap perlawanan. Semua pemain menunjukkan karakter masing-masing hari ini (semalam),” ujarnya. – AGENSI














