SIAPA sangka, kerja menyusun blok bata yang sering dipandang sepi di tanah air sebenarnya mempunyai nilai yang cukup tinggi untuk menembus pasaran kerja di luar negara.
Realiti itulah yang dibuktikan oleh anak jati Kunak, Sabah, Muhammad Din Duin, 30, apabila kepakaran teknikal yang dimilikinya berjaya memikat industri pembinaan di bumi United Kingdom (UK).
Berdiri megah sebagai Ketua Jabatan di bahagian Talent and Technical Development bersama syarikat gergasi S&L Contract Ltd, dia kini menjadi bukti bahawa lulusan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan mampu berada di pentas antarabangsa.
Muhammad Din memulakan langkahnya di Sekolah Menengah Teknik, Tawau, Sabah sebelum meneruskan pengajiannya di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan demi mendapatkan kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Teknologi Pembinaan Bangunan.
Dia memilih laluan kemahiran ini atas satu sebab yang jelas iaitu minat yang mendalam terhadap dunia pembinaan sejak awal lagi.
Bercerita mengenai detik awal mendaftar di ILP, dia mula mempersoalkan masa depannya dan terfikir untuk menukar haluan ke kursus lain yang lebih popular seperti kimpalan atau elektrikal.
“Jujurnya pada waktu itu, saya nampak pasaran kerja untuk bidang bricklaying (susun bata) di Malaysia seperti kurang berkembang dan tidak kompetitif. Ini membuatkan saya rasa mahu menukar kepada kos yang lain,” katanya.
Bagaimanapun, tekad yang kuat menyaksikannya memilih untuk kekal bertahan sehinggalah pintu rezekinya mula terbuka luas selepas terpilih mewakili institusi itu ke
Pertandingan Kemahiran WorldSkill Malaysia Belia pada tahun 2015.
Kejayaan membawa pulang pingat emas dalam bidang susun bata itu menjadi batu lonjakan besar buat kerjayanya.
Rentetan daripada itu, dia terus menggalas cabaran negara ke peringkat ASEAN Skills Competition (ASC) 2016, sebelum mara ke kejohanan kemahiran terbesar dunia iaitu
WorldSkill Competition Abu Dhabi 2017 demi mengibarkan jalur gemilang di bidang Tred S20 Bricklaying.

Komitmennya dalam bidang ini terbukti apabila dia kembali menyertai pasukan WorldSkill negara sebagai pasukan pakar (team of experts) bermula tahun 2018 hingga 2025 untuk melatih bakat-bakat muda baharu.
Menyedari kekangan fasiliti di Malaysia yang jarang menggunakan teknik facing brick (dinding bata tulen tanpa plaster), peluang keemasan akhirnya tiba pada November 2022 apabila S&L Contract Ltd datang ke Malaysia dan menawarkan peluang kerjaya di UK.
Melalui itu, Muhammad Din berhijrah ke UK pada Januari 2023 untuk bekerja sebagai bricklayer (penurap bata).
Kecekapan luar biasa yang ditunjukkannya membuka mata pihak pengurusan tertinggi sehingga dia diberikan kepercayaan besar dalam tempoh masa yang singkat.
“Syukur, rezeki saya apabila dalam tempoh enam bulan pertama, pengarah syarikat melihat potensi saya lalu menaikkan pangkat untuk menjadi ketua di bahagian pembangunan bakat bagi memburu lebih ramai tenaga mahir dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand serta Vietnam,” kongsi Muhammad Din.
Tambahnya, landskap industri pembinaan di luar negara sangat berbeza kerana mereka meletakkan standard kelayakan yang amat ketat pada setiap pekerja di lapangan.
“Di UK, seseorang itu wajib memiliki kelayakan seperti National Vocational Qualification Level 2 atau dikenali sebagai ‘Kad Biru’ sebelum dibenarkan masuk bekerja di tapak pembinaan bagi memastikan kualiti kerja sentiasa terjaga mengikut pengkhususan masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengalaman bekerja di luar negara itu membuka matanya mengenai budaya kerja profesional di luar negara, persekitaran kerja sangat menghormati pekerja teknikal tanpa sebarang diskriminasi, di samping menitikberatkan aspek keselamatan kerja serta kawalan kualiti yang sangat ketat.
Kini, dia memikul tanggungjawab melatih anak muda tempatan di Mallon Training Centre yang ditubuhkan di Malaysia sebelum mereka dibawa bekerja ke UK.
Hab latihan terbaharu itu merupakan pusat latihan pakar yang pertama di negara ini yang dikhususkan secara eksklusif untuk bidang kemahiran pemasangan batu-bata.
Melalui platform ini, dia berharap industri tempatan dapat melihat kepentingan gandingan antara teori dan praktikal secara adil.
“Tanpa arkitek dan jurutera, kita tidak boleh membina bangunan.
“Tetapi harus diingat, tanpa adanya tenaga kerja mahir atau juruteknik di lapangan, golongan jurutera juga tidak akan mampu mendirikan bangunan tersebut.
“Sebab itu akademik dan TVET perlu bergerak seiringan,” kongsinya mengenai kepentingan aliran teknikal ini kepada industri masa kini yang menyediakan peluang pekerjaan sangat luas.














