Gambar kenangan Awa bersama arwah bapanya, Mohd. Ghazali.

‘Abah tak suka saya pakai pakaian singkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Sebelum keluar rumah, abah akan pegang pakaian saya. Dia tidak suka saya pakai pakaian singkat, abah kata nanti orang cakap mentang-mentang bapa buta, kau (anak) pakai seksi.”

Itu antara pesanan yang pa­ling diingati Awa Mohd. Ghazali, 42, sepanjang hayatnya ketika dibesarkan ibu dan bapanya, Mohd. Ghazali Tocheh yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Awa berkata, dia tidak pernah berasa malu, malah bangga de­ngan ketegasan yang dimiliki arwah bapanya dalam mendidik mereka empat beradik.

“Abah sangat menitikberatkan pendidikan dan penampilan anak-anak.  Sebelum keluar, arwah pe­gang bahagian bawah seluar sama ada singkat atau tidak sebab saya tinggi. Abah tidak suka saya pakai pakaian singkat.

“Selain itu, ketika ulang kaji pelajaran pada waktu malam, arwah akan menemani saya di ruang tamu. Abah suka saya membaca sebab ada intonasi dan gaya pembacaan yang baik,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Awa, arwah bapanya seorang yang tegas dan akan memarahi mereka sekiranya mendapat markah teruk dalam pe­periksaan.

Oleh itu, Awa sentiasa memastikan dia belajar bersungguh-sungguh sehingga memperoleh Anugerah Dekan ketika menuntut di universiti.

Cerita wanita itu, arwah bapanya hilang penglihatan pada usia 22 tahun akibat kerosakan kornea ketika berkhidmat sebagai pegawai pertanian sebelum bertemu jodoh dengan ibunya di Pusat Latihan Bagi Orang Buta di Brickfields, Kuala Lumpur.

Walaupun serba kekurangan, lelaki itu turut menulis buku dan menghasilkan karya bertajuk Dua Dunia serta Ekspedisi.

Awa turut berkongsi kisah duka apabila hubungannya ditentang keluarga bekas kekasih hanya kerana mereka tidak mahu keturunan yang cacat.

“Abah dengar saya menangis. Dia kata ‘abah buta, bukan pekak’. Bila saya menceritakan perkara yang berlaku abah segera memeluk saya,” kongsinya.

Tambah Awa, dia bersama adik-beradik lain turut menyambut Hari Bapa dengan membawa lelaki itu keluar menjamu selera selain memberi hadiah sebagai tanda ingatan dan pengorbanan dalam membesarkan mereka.

“Pernah sekali dia mahu makan piza, jadi kami bawa dia ke sebuah restoran makanan segera di Wangsa Maju dan menyanyikan lagu (Hari Bapa). Saya ha­diahkan dia kemeja dan kasut.

“Sekarang saya tidak boleh belanja abah lagi, tetapi saya belanja doa pada setiap masa. Saya rindu arwah abah,” katanya. Mohd. Ghazali meninggal dunia dalam tidur pada tahun 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN