fbpx

Masukkan laungan azan dalam SOP SAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penemuan mayat dalam tempoh 15 minit selepas laungan azan di lokasi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor oleh anggota bomba kelmarin menunjukkan bahawa selain kudrat, kita juga memerlukan kepada keajaiban.

Mayat lelaki itu merupakan mangsa yang ke-26 ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas enam hari operasi dilakukan pihak berkuasa sebaik tragedi yang berlaku pada Jumaat lepas itu.

Selaku muazzin, anggota bomba, Mohd. Iqhmal Kamaruddin, 29, memberitahu, azan belum pernah dilaungkan sejak hari pertama SAR dijalankan sebaliknya hanya membaca doa memohon keselamatan sebelum memulakan pencarian.

Selain daripada mengisytiharkan bahawa kita beriman dengan Allah dan Rasulullah dengan cara mengerjakan solat, antara yang terkandung di dalam laungan azan itu ialah menuju kejayaan.

Ternyata, seruan mari menuju kejayaan itu telah menemukan lokasi tepat kedudukan mayat di bawah tanah selepas ia gagal dikesan walaupun SAR telah menggunakan khidmat anjing pengesan.

Seruan yang membuka pelbagai ‘jalan’ itu hanya dapat dirasai oleh mereka yang benar-benar menghayati tujuh bait yang terkandung di dalam laungan tersebut.

Apa yang berlaku kelmarin itu membuka mata kita bahawa selaku hamba, kita sentiasa berada dalam keadaan lemah dan memerlukan bantuan serta pertolongan daripada Yang Maha Berkuasa.

Mungkin ada yang berpendapat ia berlaku secara kebetulan tetapi jika diamati, tiada baki mangsa yang dapat ditemui dalam tempoh dua hari hingga membuatkan pasukan keselamatan buntu selain anjing pengesan yang digunakan menjadi penat kerana bekerja lebih masa.

Bukan sahaja hendak memberitahu masuknya waktu solat dan mencari, azan kerap kali dilaungkan oleh mangsa-mangsa musibah seperti banjir, ribut dan kebakaran.

Di sesetengah tempat, azan turut dikumandangkan ketika menurunkan jenazah ke liang lahad selain sebelum memulakan perjalanan bagi orang yang hendak mengerjakan haji. Perkara sama dilakukan sebelum khatib membaca khutbah Jumaat.

Hakikatnya, seluruh negara merasa dukacita dengan tragedi yang melibatkan 94 mangsa ketika mereka sedang tidur di dalam khemah. Sehingga semalam, tiga lagi mangsa masih gagal ditemui.

Dengan tanah runtuh setinggi antara lima hingga ke 10 tingkat bangunan, tak tercapai dek akal kita bagaimana hendak menemui baki mangsa itu. Terlalu banyak kerja dan masa yang diperlukan jika mahu selak satu persatu.

Kita berharap agar kesemua mereka ditemui walaupun hanya tinggal jasad kerana jika tidak, mereka akan berkubur di situ buat selama-lamanya sekiranya operasi SAR dihentikan.

Hanya kepada Allah kita berserah dan tidak salah rasanya jika pihak berkuasa memasukkan laungan azan sebagai salah satu daripada prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi SAR selepas ini. Wallahualam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI