fbpx

PPZ-MAIWP permudahkan pembayar tunai zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Begitu mudah kini, pembayar zakat boleh menggunakan aplikasi MyZakat selain melalui ejen-ejen kutipan zakat seperti perbankan internet, kaunter bank, pos dan e-Wallet. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bayar zakat dengan hanya membuat panggilan ke call centre antara perkhidmatan baharu diperkenalkan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam memudahkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan ibadah tersebut.

Menerusi nilai tambah baharu yang diperkenalkan PPZ-MAIWP, pembayar hanya perlu membuat panggilan ke talian 1300885757 dan bayaran zakat mereka boleh diselesaikan dengan mudah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, PPZ-MAIWP turut menyediakan perkhidmatan Door to Door atau Ride2u bagi pembayar yang mahukan layanan di rumah atau premis untuk urusan bayaran zakat melalui mytemujanji.zakat.com.my.

Katanya, langkah tersebut adalah untuk memberi kemudahan kepada pembayar melaksanakan rukun Islam tersebut ekoran tiada masa ke kaunter PPZ-MAIWP.

“Selain itu, kita turut memudahkan pembayar dengan pembukaan 10 kaunter PPZ-MAIWP tujuh hari seminggu termasuk cuti umum yang beroperasi dari pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

“Malah, sempena hari Jumaat pula, PPZ-MAIWP mengadakan program Friday+ iaitu waktu operasi dilanjutkan sehingga 9 malam dengan mengambil keberkatan Jumaat dan 30 pembayar terawal akan menerima baucar KFC bernilai RM10,” katanya baru-baru ini.

Ujar beliau, lain-lain kaedah iaitu portal www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat serta ejen-ejen kutipan zakat antaranya perbankan internet, kaunter bank, pos, e-Wallet serta firma-firma dan lain-lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPZ-MAIWP menganjurkan Kempen Year End Zakat (Kempen YEZ) bermula 26 November hingga 31 Disember ini bertemakan ‘Memberi Tanda Syukur’, sekali gus mendidik masyarakat Islam mensyukuri nikmat serta menzahirkan rasa syukur dengan berzakat.

Kempen tahunan itu sinonim dengan kebiasaan promosi di pusat beli-belah iaitu jualan Year End Sale dan pihaknya mengambil pendekatan sama mengajak masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan menunaikan rukun Islam itu.

“Sepanjang tempoh kempen ini, PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai pengisian, program serta aktiviti menarik khusus kepada pembayar zakat dan masyarakat sebagai galakan dan ingatan untuk segera menunaikan zakat.

“Program disediakan di media sosial PPZ-MAIWP termasuk Borak Dengan Miro yang menampilkan panel jemputan dalam kalangan selebriti, pembayar zakat dan sebagainya yang membincangkan topik semasa secara langsung setiap Selasa pukul 12 tengah hari,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, ZakaTalk pula adalah program bicara santai bersama Ustaz Ahmad Husni dan panel jemputan terdiri dalam kalangan ustaz dan ustazah selebriti, asnaf dan juga pembayar zakat yang akan membincangkan isu-isu semasa serta hukum-hakam berkaitan zakat secara langsung setiap Rabu pukul 12 tengah hari.

“CEO Talk pula sebuah program bual biacara antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPZ-MAIWP bersama CEO syarikat-syarikat pembayar zakat. Malah, kita turut mengadakan kuiz zakat di media sosial dengan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi,” katanya.

Katanya lagi, pembayar zakat yang menunaikan kewajipan tersebut sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Disember ini boleh mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan.
Lebih 500 hadiah menarik disediakan termasuk pakej umrah, Thermomix TM6, pakej ziarah dan iPhone 14 untuk pemenang bertuah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI