SEBERANG PERAI – Pengguna di daerah ini tetap memilih membeli ikan temenung atau kembung meskipun mengetahui harga pasarannya kini semakin tidak stabil sehingga mencecah RM20 sekilogram, selain saiznya yang kecil dan nipis.
Rata-rata peniaga dan pengguna yang ditemui Kosmo! di sini semalam mengatakan, hasil laut itu diibaratkan mereka sebagai lauk segar yang mampu dibeli dalam kuantiti banyak berbanding ikan besar lain.
Dakwa mereka, ikan besar seperti bawal emas, ikan merah, siakap dan biji nangka dijual pada harga tinggi hanya untuk seekor.
Seorang peniaga ikan, Chee Seng Kuan, 53, berkata, harga ikan termenung bersaiz besar dijualnya kini RM19 sekilogram.
“Saiz besar ada, tapi tak banyak. Kalau ada pun (saiz) kecil. Pelanggan ada yang merungut, tapi kita tiada pilihan terpaksa jual juga.
“Meskipun harganya mahal, pelanggan tetap mahu membeli ikan temenung kerana mereka boleh dapat dalam jumlah banyak,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan yang ingin dikenali sebagai Hafzah, 50, berkata, meskipun bekalan ikan termenung dikatakan berkurangan sejak seminggu lalu berikutan keadaan cuaca tidak menentu, namun sumber laut itu tetap jadi pilihan pelanggan.
“Ikan yang saya dapat hari ini daripada peraih pun tak banyak. Tetapi, ikan ini tetap habis dijual.
“Ikan temenung saiz kecil biasanya dijual pada harga RM12 hingga RM13 sekilogram, namun sekarang terpaksa jual RM15 (sekilogram). Untung pun tak seberapa, setakat RM1 dan RM2 saja,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pembeli, Aina Rashid, 41, berkata, selain ikan kering, ikan temenung juga menjadi pilihan lauk utama keluarganya sejak dahulu.
“Ikan ini dianggap seperti lauk mampu milik. Ini kerana, pada harga RM15 sekilogram, kita boleh dapat 10 hingga 12 ekor ikan walaupun saiz kecil. Cukuplah bertahan seminggu atau lebih jika diselang-seli dengan masakan sayur,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar awam sekitar Seberang Perai di sini semalam mendapati, bekalan ikan temenung masih dijual di pasaran biarpun kelihatan berkurangan hampir 50 peratus.














