fbpx

17,000 asnaf, fakir miskin nikmati limpahan rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FARED melawat sebahagian gerai sempena Perhimpunan Bulanan MAINJ di Kompleks Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini. -Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kira-kira 17,000 golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini akan menerima ‘durian runtuh’ bantuan saraan bulanan pada hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ia susulan lebihan kutipan zakat yang dikutip Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada tahun ini sebanyak RM345 juta.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding kutipan zakat RM330 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

“Berdasarkan pencapaian kutipan zakat tahun ini, MAINJ mengambil keputusan untuk memberi bonus kepada penerima bantuan saraan bulanan golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini.

“Bantuan saraan yang berjumlah RM300 hingga RM750 dengan jumlah keseluruhan RM5.5 juta akan dikreditkan ke akaun penerima pada penghujung bulan ini.

“Ini adalah pertama kali pihak MAINJ memberi bonus ini kepada golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini. Kita berharap kutipan zakat akan terus meningkat di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan agensi Hal Ehwal Agama Islam Johor, di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM400 pada tahun hadapan setelah menunjukkan trend peningkatan pasca Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut akan memperkasakan tujuh inisiatif bantuan kepada golongan asnaf dan fakir miskin ini bagi membantu mereka keluar daripada zon kemiskinan.

Beliau memberitahu, antara jenis bantuan yang diberikan menerusi pelan pembangunan asnaf antaranya ialah bantuan awal perniagaan, bantuan pendidikan, eko-komuniti berasaskan pertanian dan sebagainya.

“Program ini akan digerakkan pada tahun depan bagi membantu golongan ini mengubah taraf hidup mereka ke arah lebih baik dan keluar daripada zon kemiskinan.

“Menerusi pelan pembangunan itu, kita berharap ia dapat membantu antara tiga hingga tujuh peratus daripada golongan terbabit,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI