fbpx

UMP cipta produk nutrisi tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOORMAZLINAH (tengah) menunjukkan produk SMART SBB yang berjaya dihasilkannya.

PENYELIDIKAN yang asalnya dilakukan bagi mencari penyelesaian kepada masalah sisa pepejal oleochemical dan pencemaran alam sekitar telah membuah hasil tidak diduga buat pakar di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kajian dijalankan bersama pihak industri bagi menyelesaikan masalah sisa pepejal oleochemical dan masalah pencemaran alam sekitar itu membawa kepada penghasilan sebuah produk yang dinamakan sebagai SMART SSB.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, UMP, Dr. Noormazlinah Ahmad itu dilihat dapat dimanfaatkan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara.

“Kajian ini berjaya menghasilkan produk menyerupai pasu yang dibuat menerusi gabungan sisa pepejal oleochemical dan prebiotik.

“Gabungan ini dapat memberikan kebaikan dan tambahan nutrisi kepada tanaman.

“Ia juga boleh menjadi penyelesaian buat negara yang mempunyai masalah kekurangan air dan nutrisi dalam tanah terhad kepada beberapa jenis tanaman sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, setelah melakukan analisis dan penelitian terhadap sisa pepejal tersebut, dia mendapati ia mengandungi nutrisi yang dapat digunakan kepada tanaman.

Jelasnya, idea menjadikan produk berkenaan berguna sebagai bahan penambah nutrisi pada tanaman terhasil daripada sisa pepejal itu.

“Produk ini boleh diletakkan di dalam tanah atau bersama pasu lain memandangkan ia dapat memberikan nutrisi tambahan kepada tanaman.

“Di samping itu, SMART SSB mempunyai daya tahan serapan air serta bersifat biodegradasi yang menjadikan produk ini mesra alam.

“Produk yang boleh dijadikan bekas tanaman ini juga dapat digunakan di kawasan tanah gersang,” ujarnya lagi.

Noormazlinah berkata, usaha itu berjaya menghasilkan produk yang memberi manfaat kepada pertanian.

Dia juga berharap, produk berkenaan dapat digunakan kepada tanaman di kawasan kekurangan air atau nutrisi dalam tanah.

Katanya lagi, usaha tersebut dapat meningkatkan kadar pertanian dan dijadikan salah satu solusi untuk menghadapi krisis makanan atau tanaman pada masa akan datang.

Hurainya lagi, produk tersebut dapat ditambah baik dari segi cara pemprosesan bekas tanaman, kandungan serta formulasi yang digunakan ketika ini.

SMART SSB tersedia dalam beberapa saiz iaitu S, M dan L dengan anggaran kos antara RM5 hingga RM15 setiap satu.

Produk itu telah mendapat pengiktirafan menerusi kemenangan pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2022 di Universiti Malaysia Kelantan baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI