PHILADELPHIA – Ketua Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menggesa barisan pemain menyerap tekanan dengan lebih berkesan jika berhasrat meneruskan kemaraan jauh pada kempen Piala Dunia 2026.
Menurut Dalić, persembahan pasukannya pada dua aksi peringkat Kumpulan L sebelum ini masih jauh daripada memuaskan apabila pemain dilihat bergelut menyesuaikan diri selain tertekan untuk memburu keputusan positif
“Kelemahan utama sebelum ini adalah kami gagal mengatasi tekanan pada awal permainan dan sebab itulah saya marah dengan apa yang berlaku.
“Sejujurnya saya tidak menjangka kita akan mengharungi dua perlawanan yang sukar. Mungkin kerana tekanan yang kami rasakan memandangkan kami perlukan mata untuk hidupkan peluang ke pusingan seterusnya,” katanya.
Croatia hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri ketika menentang Ghana untuk mencerahkan peluang ke pusingan 32 terbaik sekali gus berpotensi meneruskan rekod cemerlang pada edisi 2018 dan 2022.
Namun, mereka dijangka tampil memburu kemenangan kerana tidak mahu bergantung kepada kedudukan menjadi sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik, malah berpeluang untuk muncul juara kumpulan sekiranya England gagal menewaskan Panama.
“Saya mahu pemain lupakan prestasi yang lepas dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang menanti kami selepas ini,. Gaya permainan Ghana hampir sama seperti Panama. Kami perlu berdisiplin ketika bertahan dan menguasai bola,” jelas Dalic. – AGENSI














