SEGAMAT – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah sah menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan parti Pakatan Harapan (PH) di hari penamaan calon di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini hari ini berbanding empat penjuru pada PRN Johor ke-15 pada tahun 2022.
Calon pertama menghantar kertas penamaan calon adalah calon BN, K. Raven Kumar diikuti calon PH, Mohd Afif Abdul Hamid dan akhir sekali calon PN, Uzzair Ismail.
Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya (SPR) DUN Kemelah, Izuddin Sanusi mengumumkan masa bagi penyerahan kertas penamaan calon ditutup sebentar tadi pada kira-kira pukul 10 pagi di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat.
Beliau juga mengumumkan tiada kertas calon di tolak untuk penamaan calon di DUN berkenaan.
Pertembungan tiga penjuru di DUN Kemelah ini menyaksikan tiada pembabitan calon bebas dipertaruhkan pada PRN Johor ke-16 kali ini.
Parti BN di wakili calon, K.Raven Kumar menggantikan penyandang daripada parti yang sama iaitu Saraswathy Nallathanby yang tidak menjadi calon bagi mana-mana DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
K. Raven Kumar juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johot serta Pengerusi MIC Negeri Johor.
Sementara itu, parti Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon muda, Uzzair Ismail yang merupakan calon yang pernah tewas bertanding di DUN Pemanis pada PRN Johor ke-15 pada tahun 2022 yang lalu.
Parti PH turut mempertaruhkan calon muda yang pertama kali bertanding iaitu Mohd Afif Abdul Hamid dari parti Amanah.
Terdahulu pada PRN ke-15, pertembungan empat penjuru berpihak kepada Saraswathy Nallathanby dari BN menang dengan undian sebanyak 7,518 dengan majoriti 1,611 berbanding calon PH, Sulaiman Mohd Nor menerima sebanyak 5,907 undian, manakala Normala Sudirman dari parti PN memperoleh 4,639 undi dan calon Pejuang Norizah Sahardin dengan 214 undian.
DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pada PRN 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH sebanyak 12 kerusi, PN sebanyak tiga kerusi dan MUDA memperolehi satu kerusi.
Hari penamaan calon ditetapkan hari ini diikuti pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari mengundi jatuh pada 11 Julai 2026.- KOSMO! ONLINE














