DALLAS – Selepas berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik apabila meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal, pengendali Argentina, Lionel Scaloni dijangka membuat sedikit rombakan menjelang pertemuan menentang Jordan.
Pertemuan menentang Jordan di Stadium Dallas pagi esok menyaksikan Scaloni mahu mengambil peluang untuk merehatkan beberapa pemain utamanya serta membuka ruang pemain yang belum diturunkan untuk menikmati saingan di Piala Dunia.
“Perancangan kami adalah untuk memberi peluang bermain kepada sebahagian besar pemain kerana mereka berhak mendapatkannya. Selagi keadaan perlawanan mengizinkan, kami akan melakukannya,” katanya.
Satu-satunya perubahan yang terpaksa dilakukan Argentina melibatkan pertahanan Cristian Romero yang dikeluarkan ketika menentang Austria selepas mengalami kecederaan lutut kanannya yang sebelum ini terseliuh.
Pemain veteran Nicolas Otamendi menggantikannya pada minit ke-57 dan dijangka akan diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang Jordan, sementara beberapa pemain lain seperti Nicolas Tagliafico dan Julian Alvarez juga mungkin diberikan peluang.
Beberapa pemain simpanan seperti Marcos Senesi dijangka mengisi posisi di benteng pertahanan, manakala Exequiel Palacios, Valentin Barco dan Giovani Lo Celso berpotensi mengemudi bahagian tengah.
Bagaiamanapun, Scaloni dijangka mengekalkan pemain bintangnya, Lionel Messi untuk mengetuai jentera serangan terutama untuk memberi peluang pemain itu menambah jumlah jaringan selepas meledak lima gol dalam dua perlawanan.
Perlawanan menentang Jordan juga dianggap ‘hadiah’ buat Messi yang baru menyambut hari lahir ke-39 kira-kira dua hari lalu bagi memastikan dia terus berpeluang berada dalam senarai penjaring gol. – AGENSI














