NEW JERSEY – Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui tidak takut untuk melakukan rombakan pemain menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Panama pagi esok.
Perubahan itu dianggap berisiko apabila England mungkin gagal untuk muncul sebagai juara kumpulan sekiranya mereka meraih keputusan selain kemenangan ketika kedudukan mata ketika ini menyamai Ghana dan Croatia juga mampu melakukan kejutan.
Pengendali dari Jerman itu masih belum pasti sama ada beliau akan membuat rombakan keseluruhan selepas gagal menang ke atas Ghana menyebabkan mereka perlu menang berdepan Panama untuk memastikan kedudukan sebagai pendahulu.
Jika England menjuarai kumpulan, mereka akan beraksi menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam kumpulan lain, sebaliknya, jika mereka menamatkan saingan di tempat kedua, mereka akan bertemu sama ada Portugal atau Colombia.
“Saya sendiri tidak pasti sama ada mahu membuat rombakan sepenuhnya. Mungkin kami akan melakukannya, tetapi saya tidak keberatan untuk membuat beberapa pertukaran pemain sekarang.
“Ada beberapa pemain yang sepatutnya berada di atas padang, namun mungkin ada perubahan yang sederhana dilakukan,” katanya.
Sementara itu, tonggak tengah England, Eberechi Eze percaya barisan pemain kini makin selesa mempamerkan intensiti dan semangat tinggi yang diterapkan Tuchel dalam usaha memburu kejayaan pada Piala Dunia 2026.
“Anda boleh lihat sendiri intensiti, semangat dan corak permainan yang kami tampilkan. Saya tidak fikir ada pasukan mampu bermain dengan cara itu selama 90 minit kerana ia memerlukan tenaga dan disiplin yang sangat tinggi,” katanya. – AGENSI














