fbpx

Lelaki lumpuh bersyukur terselamat dalam kebakaran rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamariah melihat keadaan rumah dan kenderaan yang musnah dalam kebakaran di Taman Indah Jabi, Pokok Sena tengah malam tadi.

ALOR SETAR – Seorang warga emas yang lumpuh akibat strok bersyukur apabila dia dan empat ahli keluarganya terselamat selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Taman Indah di Jabi, Pokok Sena dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Abdul Kadir Mansur, 76, bersama isteri, Kamariah Shamsudin, 67, serta anak, menantu dan cucu mereka sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Menurut Abdul Kadir, ketika kejadian dia dan isteri sedang tidur di bilik utama rumah tersebut sebelum terdengar bunyi percikan api dari luar.

“Isteri saya terjaga dari tidur selepas terdengar bunyi letupan seperti mercun sebelum menjerit.

“Menantu (Mohd. Shahir Asraf, 28) yang belum tidur kerana menonton bola sepak Piala Dunia bingkas bangun dan terus mengejutkan isterinya sebelum bawa saya keluar,” katanya ketika ditemui di rumah tersebut di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka termasuk anak, Norhidayah, 26, dan cucu berusia 18 bulan sempat keluar dan terselamat dalam kejadian itu.

“Kami tidak sempat selamatkan apa pun, tetapi nasib baik semua selamat. Saya reda dan anggap ini ujian untuk kami sekeluarga,” ujarnya yang merupakan bekas tukang kebun dan telah menetap di situ sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, dia sekeluarga bernasib baik kerana isterinya terjaga dengan cepat selain menantunya masih tidak tidur kerana menonton perlawanan bola sepak tersebut.

“Kalau semua tidur nyenyak entahlah apa yang jadi. Saya bersyukur semua ahli keluarga terselamat walaupun kami tinggal sehelai sepinggang.

“Semua hangus termasuk kereta menantu yang tak sampai setahun dia beli dan dua motosikal kami. Buat sementara waktu ini kami terpaksa menumpang di rumah anak dekat Langgar,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Sayani Saidon, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.54 tengah malam tadi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan rumah bernombor 80, kebakaran turut merebak ke rumah bersebelahan.

“Empat rumah dan kenderaan yang terjejas dalam kebakaran adalah dua kereta dan sebuah motosikal,” katanya.

Tambahnya, kebakaran mengakibatkan rumah terlibat terbakar dari 10 hingga 80 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI