fbpx
SITI AISYAH menunjukkan kacang botol yang dikatakan naik harga di Pasar Awam Larkin Sentral, Larkin, Johor Bahru semalam.

Kacang botol dahulu RM7, sekarang RM15 sekilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Harga sayur dan ulam-ulaman di sekitar ne­geri ini mengalami peningkatan harga sehingga dua kali ganda sejak minggu lalu.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Awam Larkin Sentral di sini mendapati antara sayur yang me­ngalami peningkatan harga yang ketara ialah kacang botol, pucuk paku, ulam raja, petai, sawi, kailan serta beberapa jenis yang lain.

Seorang peniaga, Siti Aisyah Ismail berkata, peningkatan harga didapati berpunca daripada sukar untuk mendapatkan bekalan daripada petani.

“Harga naik sejak minggu lalu, sebagai contoh kacang botol, sebelum ini kita ambil dengan harga modal RM6 atau RM7 seki­logram, tetapi hari ini (semalam) kami dapat harga RM15, naik dalam dua kali ganda.

“Kami tak boleh jual murah, sebab rugilah kami peniaga-peniaga kecil, ambil untung pun sikit-sikit jer.

“Kata pembekal, sebab musim hujan, sayur-sayur susah nak dapat dari petani dan juga ada mereka cakap tak ada pekerja nak petik sayur-sayuran serta u­laman ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 33, terkejut apabila harga bahan mentah itu naik mendadak ketika rakyat bergelut dengan pe­ningkatan kos sara hidup.

Ujarnya, dia terpaksa membuat persediaan awal untuk membeli bahan mentah sebagai bekalan isi rumah.

“Biasa saya bawa RM50 nak beli sayur, ulam, ikan serta ayam sudah cukup, tetapi hari ini belanja saya beli sayur dan bahan mentah lain cecah sehingga RM80.

“Semakin hari semakin naik, ini baru barang-barang mentah di pasar ini, belum lagi beli telur, bawang serta bahan-bahan lain,” katanya.

Siti Noor Asiah berharap perkara ini diambil berat oleh kerajaan.

“Kami orang kampung kerja tidak seberapa tetapi bahan mentah hari-hari naik mencanak-canak,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN