fbpx

Mahkamah: Undang-undang kunci tayar MPKB tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar dikuat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah tidak sah kerana bertentangan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Datuk Hashim Hamzah yang turut bersidang bersama-sama Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian.

Dalam penghakimannya, hakim Hashim berkata, ia susulan Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ‘ultra vires’ atau melampaui Seksyen 72(7) APJ 1987.

“Bagaimanapun, Perintah 8 di bawah perintah sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan parkir kereta,” kata hakim itu.

Justeru dengan keputusan itu, MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di petak parkir, sebaliknya hanya boleh mengenakan kompaun.

Terdahulu pemohon dalam kes ini ialah Nursyafawati Kasim yang diwakili peguam; Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.

Sementara MPKB selaku responden diwakili peguam, Marwalis Adam dan Shaharuddin.

Sebelum ini, orang awam menggesa MPKB memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar itu, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan.

Penduduk berpendapat peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci dibuka perlu diberi kelonggaran atau diskaun dengan mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik COVID-19 berpanjangan.

Sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan pula didakwa rancak menjalankan ‘perniagaan’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan terutama di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI