fbpx

Piala Dunia: Switzerland pasukan terakhir layak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
XHAKA (kiri) cuba ditenangkan oleh para pemain kedua-dua pasukan selepas terbabit dalam insiden pertelagahan dengan Milenkovic. - AFP

DOHA – Switzerland menepati ramalan apabila menyambar slot terakhir ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 menerusi kemenangan berharga 3-2 ke atas Serbia di Stadium 974 sebentar tadi.

Kemenangan pada aksi terakhir Kumpulan G itu membolehkan Switzerland mengiringi Brazil ke peringkat kalah mati walaupun juara dunia lima kali itu tewas 0-1 kepada Cameroon dalam satu lagi perlawanan.

Kejayaan itu terus menyalakan impian Switzerland untuk memperbaiki pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia iaitu suku akhir sebanyak tiga kali pada edisi 1934, 1958 dan 1954.

Dalam aksi itu, Switzerland membuka tirai jaringan menerusi rembatan Xherdan Shaqiri pada minit ke-20 sebelum Aleksandar Mitrovic menanduk masuk gol penyamaan Serbi enam minit kemudian.

Tidak lama kemudian, Serbia pula yang berjaya mendahului menerusi Dusan Vlahovic pada minit ke-35 sekali gus memberikan harapan untuk melangkah ke pusingan seterusnya buat kali pertama sejak 2010.

EMBOLO (kiri) meledak gol kedua Switzerland dalam kemenangan 3-2 ke atas Serbia di Stadium 974 sebentar tadi. – AFP

Bagaimanapun, skuad bimbingan Murat Yakin berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila Breel Embolo mudah menampan masuk hantaran lintang Silvan Widmer yang langsung tidak dikawal pada minit ke-44.

Pemain tengah Nottingham Forest, Remo Freuler muncul wira Switzerland apabila meledak gol kemenangan pasukan ranking ke-15 dunia itu selepas menyudahkan hantaran Ruben Vargas pada minit ke-48.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut dicemari dengan insiden pertelagahan pada penghujung permainan selepas Nikola Milenkovic dan Mitrovic dilihat tidak berpuas hati dengan kapten Switzerland, Granit Xhaka.

Di suku akhir nanti, Switzerland akan bertemu juara Kumpulan H, Portugal di Stadium Lusail pada awal pagi Rabu ini. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI