fbpx
AGUERO menganggap peluang menyertai skuad negara kali ini tidak boleh dilepaskan dan sedia memberikan aksi terbaik. – FB FAM

Aguero sudah sedia manfaatkan peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERANG naturalisasi terbaharu Harimau Malaya, Sergio Aguero mahu membuktikan ke­upayaan sebenar selepas dipanggil menyertai kem latihan pusat kebangsaan buat pertama kali bagi mengharungi kempen Piala AFF 2022 kali ini.

Sebagai rekod, Aguero yang mewakili kelab Sri Pahang telah menabur bakti di bumi Malaysia sejak 2017 dengan mewakili kelab tempatan seperti Melaka United, Selangor United, Penang FC, Kuala Lumpur Rovers dan Perak.

Kini, pemain berusia 28 tahun itu diberi kepercayaan oleh pengendali import Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk berada dalam senarai 28 pemain yang dipilih mengharungi kejohanan bola sepak berprestij Asia Tenggara itu nanti.

Kata Aguero, kepercayaan serta sokongan padu diharapkan daripada peminat bola sepak tanah air dalam memberi ruang dan peluang buat ‘muka-muka baharu’ mempamerkan bakat mereka ketika menyarung jersi kebangsaan.

“Saya telah berada di Malaysia selama enam tahun dan setia kekal di sini meskipun mendapat banyak tawaran daripada kelab luar negara. Sebagai pemain dan kini menjadi rakyat Malaysia, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik.

“Justeru, saya meminta agar peminat memberikan keperca­yaan dan teguh berada di belakang kami meskipun panggilan kali ini melibatkan ramai pemain baharu kerana kami juga cintakan negara ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mengulas mengenai sasaran peribadi, atlet kelahiran Argentina ini sudah tentu berharap dapat melakukan kemunculan debut pada dua aksi persahabatan antarabangsa sebelum ‘sangkut’ dalam senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF nanti.

“Meskipun kurang mendapat minit permainan di peringkat kelab musim ini, saya tetap ber­usaha memanfaatkan segala peluang yang diberikan.

“Saya percaya jika saya be­kerja keras pada sesi latihan, jurulatih akan memberikan peluang dan menilai prestasi saya sama ada boleh diturunkan atau sebaliknya nanti,” kata Aguero.

POPULAR