fbpx

Norsyazwany didakwa di Mahkamah Melaka, terima RM82,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norsyazwany diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang wanita muda, Norsyazwany A. Rahim, yang sebelum ini didakwa di beberapa Mahkamah Sesyen di Kedah turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan sama membabitkan deposit berjumlah RM82,000, pada Jun lalu.

Tertuduh, yang berusia 23 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada Nurul Syahirah Mohd. Amir, 27, berjumlah RM82,000 tanpa lesen sah, mengikut Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Perbuatan itu dilakukan di alamat Lot 857, Jalan Kampung Bukit Tempayan, Tangga Batu antara 10 Jun lalu kira-kira pukul 1.20 petang sehingga 10 Ogos pukul 8.51 malam.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137(1) akta sama.

Terdahulu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan mengambil kira kerugian dialami pengadu.

Beliau turut memaklumkan tertuduh juga mempunyai kes sama di beberapa mahkamah dalam negara membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 29 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Norsyazwany sebelum ini telah dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di Kedah iaitu di Sik, Alor Setar dan terbaharu di Sungai Petani pada 29 September lalu atas 22 pertuduhan atas kesalahan sama iaitu menerima deposit berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah, sejak April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI