PETALING JAYA – Selangor FC membawa bekalan tipis dalam usaha melakar sejarah mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas menang 2-1 ke atas wakil Vietnam, Nam Dinh dalam aksi separuh akhir pertama sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, pasukan pelawat dilihat memberi tekanan awal terhadap kubu Gergasi Merah menerusi penyerang, Jose Walber tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Namun, tuah memihak kepada skuad Merah Kuning untuk membuka tirai jaringan selepas penyerang utama, Chrigor Moraes berjaya menyudahkan hantaran Quentin Cheng pada minit ke-38.
Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun tidak bertahan lama selepas meraih gol penyamaan hasil jaringan pemain pertahanan, Nguyen Van Vi yang menampan masuk bola hantaran Percy Tau sebelum wisel penamat babak pertama ditiupkan.
Bersambung pada separuh masa kedua, gandingan Moraes-Cheng terus menjadi apabila pemain bek kanan itu melakukan hantaran tepat untuk memudahkan penyerang dari Brazil itu meledak gol kemenangan pada minit ke-59.

Lebih manis, Moraes membuktikan dirinya menjadi salah seorang pemain import terbaik Selangor apabila meledak gol ke-40 dalam semua kejohanan musim ini.
Pasukan Vietnam cuba untuk bangkit dengan memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Aksi separuh akhir kedua ACC dijadualkan berlangsung pada 13 Mei depan. – AGENSI














