fbpx
TUNKU ISMAIL (kanan) menganggap musim ini paling istimewa buatnya sepanjang 10 tahun berada dalam industri bola sepak dengan kejayaan dicapai oleh JDT.

TMJ anggap JDT masih underdog

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

BIARPUN telah merangkul ke­semua piala kejohanan domestik musim ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak melihat kejayaan itu meletakkan pasukan itu sebagai pilihan musim depan.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, JDT hanyalah pasukan underdog jika diban­dingkan dengan pasukan lain yang semakin meningkat naik dan sudah memperkuatkan skuad masing-masing sebagai persediaan bagi musim depan.

Jelas Tunku Ismail, kejayaan membanggakan dilakar pada musim ini dengan memenangi quadruple tidak mungkin boleh diulangi pada masa akan datang.

“Sepanjang tempoh 10 tahun saya berada dalam industri bola sepak, pada saya, ini adalah kejayaan yang paling bermakna sekali, ia kerana kejayaan itu direkodkan dari skuad 12 tahun hinggalah ke pasukan utama JDT.

“Bagi pasukan utama JDT pula, kita mengharungi musim tanpa kalah bagi 35 perlawanan dalam semua kejohanan domestik dan menang semuanya, ini kejayaan yang paling hebat dalam karier saya berada dalam industri bola sepak negara.

“Saya tahu keputusan ini tidak boleh diulangi lagi, kalau boleh baguslah tapi ia sangat sukar,” kata baginda kepada pembe­rita selepas perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.

Pada aksi persahabatan Jelajah Asia Borussia Dortmund itu, skuad Harimau Selatan dijinakkan pasukan gergasi Eropah itu 4-1.

Ditanya mengenai persiapan bagi musim hadapan, Tunku Ismail menjelaskan, JDT tidak berbelanja besar dan hanya akan membawa masuk dua atau tiga muka baharu bagi memperkuatkan pasukan.

“Pada tahun depan JDT ha­nyalah pasukan underdog, kita tidak berbelanja sangat de­ngan mengekalkan skuad hampir sama, paling banyak pun kita bawa masuk dua atau tiga pemain sahaja,” jelas baginda.

POPULAR