fbpx

PRU15: PH beri laluan kepada BN di DUN Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ROMPIN – Pakatan Harapan (PH) akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli berkata, sehubungan itu PH akan menyokong dan membantu calon BN, Datuk Seri Mohd. Johari Hussin untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

“Bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN dalam pilihan raya berkenaan.

“Semoga dengan Kerjasama ini keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara,”katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

PRU15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussien; Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly; Bebas, Sulaiman Bakar; Parti Pejuang Tanah Air, Osman Bakar dan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim.

Selepas sembilan hari kerajaan negeri tergantung kerana mana-mana parti tidak mempunyai majoriti, BN yang menang 16 kerusi DUN memilih PH yang mendapat lapan kerusi DUN untuk menjalinkan kerjasama dengan mengenepikan Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 17 kerusi.

Menurut Mohd. Hatta, Amanah memandang serius PRU15 DUN Tioman sebagai satu pertembungan kerajaan baharu negeri Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.

Dalam pada itu beliau berkata, Amanah menjunjung kasih perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembentukan kerajaan negeri Pahang pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Parti Amanah Negara juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas perkenan Pemangku Raja Pahang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Pahang,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI