fbpx

Mahkamah: SM Faisal satu-satunya kekasih Emilia ketika sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S.M Faisal ketika hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas adik ipar Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini, ahli perniagaan itu merupakan satu-satunya teman lelaki kakaknya, Emilia Hanafi sewaktu zaman persekolahan sebelum kedua-duanya berkahwin pada 2004.

Elisa Nani Hanafi, 38, berkata, Emilia dan S.M. Faisal yang ketika itu berusia 15 tahun dan masih bersekolah, berkenalan melalui Ezhan yang merupakan adik lelaki mereka (Emilia dan Elisa) ketika mereka bermain kasut roda.

“Saya mengenali S.M Faisal ketika berusia 10 tahun sewaktu Emilia memperkenalkannya kepada keluarga kami ketika beliau yang ditemani ibunya menjemput kakak saya di rumah.

“S.M. Faisal menetap bersama keluarganya di Damansara Jaya dan hubungan kekeluargaan di antara kami kemudiannya menjadi rapat,” ujar Elisa ketika membacakan pernyataan saksinya.

Elisa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keenam (SP6) pada perbicaraan terhadap S.M Faisal, 43, yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya ketika itu.

Ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan pukul 4.30 petang pada 22 November 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding berlangsung, Majistret Nadia Othman bertanya keadaan Elisa sebanyak dua kali menyebabkan saksi itu meminta izin membuka pelitup muka sewaktu membaca pernyataan saksi.

Dalam pernyataan saksinya, pembekal makanan persendirian itu menceritakan bibit-bibit awal perkenalan Emilia dan S.M. Faisal dan keakraban hubungan kekeluargaan di antara kedua-duanya selama bertahun-tahun.

Menurut Elisa, beliau dan adik bongsunya sering mengikuti Emilia berkunjung ke rumah keluarga S.M. Faisal ketika hujung minggu atau keluar bersama adik beradik ahli perniagaan itu kerana umur mereka tidak jauh berbeza.

Dalam keterangannya, Elisa menyatakan tidak lama selepas itu beliau dan adik bongsu mengikut ibu dan bapa tiri berpindah ke Texas, Amerika Syarikat dan sering mengunjungi keluarga S.M Faisal jika pulang bercuti di sini.

Elisa turut menceritakan hubungan baiknya dengan ibu S.M. Faisal, Puan Sri Zaleha yang dipanggilnya `Aunty Z’, `Aunty Leha’ atau `Mak’ yang sering mengalu-alukan kehadiran mereka dengan menyediakan juadah masakan Melayu yang enak selain sering meluangkan masa bersama-sama melakukan aktiviti kekeluargaan.

Menurut ibu kepada dua orang anak itu, meskipun selepas mendirikan rumahtangga, beliau tidak melepaskan peluang menziarahi keluarga bekas abang iparnya yang menetap di Bukit Tunku bagi memenuhi jemputan `Aunty Leha’.

“Beliau juga berziarah ketika saya sedang berpantang, masakkan lauk kegemaran saya, mengambil berat anak-anak saya dan memberikan nasihat terbaik ketika tempoh berpantang.

“Sewaktu S.M Faisal dan Emilia berkahwin pada 2004, saya yang ketika itu menyambung pelajaran di Melbourne, Australia pulang ke tanah air bagi majlis akad nikah dan resepsi,” ujarnya.

Elisa selanjutnya menyatakan, beliau turut merasa sedih atas pemergian bapa S.M. Faisal yang dipanggilnya `Uncle Nasim’ pada 2008.

Menurut saksi, beliau malah menemani S.M Faisal, Emilia dan anak lelaki mereka ke Los Angeles sebaik sahaja menerima perkhabaran mengenai tahap kesihatan Allahyarham yang semakin menurun.

Ujarnya, beliau menemani mereka ke sana kerana merasakan hubungan rapat dengan keluarga bekas abang iparnya yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Elisa turut melakukan pengecaman terhadap S.M Faisal dan Emilia.

S.M. Faisal diwakili oleh peguam-peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader.

Perbicaraan bersambung lagi 6 Disember ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI