KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki menyamun wanita di kawasan parkir sebuah hospital di Bukit Jalil di sini membawa padah apabila dia dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Jalan Duta, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin lalu itu berlaku apabila suspek dipercayai bertindak agresif dengan membuka pintu kenderaan mangsa sebelum cuba melarikan barangan milik wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, cubaan suspek bagaimanapun gagal selepas berlaku pergelutan antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, mangsa turut menjerit meminta bantuan menyebabkan suspek panik sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati tiada kerugian material dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di kawasan Brickfields pada Rabu lalu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau. Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai jaket jenama Puma dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Tambah beliau, suspek direman selama dua hari sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan sebelum didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada Khamis mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 11 bulan terhadap suspek bermula dari tarikh tangkapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














