fbpx

PRU15: Kerajaan perpaduan Perak bukan sebab jawatan MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani bercakap pada sidang akhbar di Hotel Casuarina di Kuala Kangsar hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

KUALA KANGSAR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu ditawarkan peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung kelmarin, PH menawarkan jawatan Menteri Besar kepada BN, bahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan melantik tiga exco esok, ditambah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dari parti tersebut.

Beliau berkata, BN Perak akur dan menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada PRU15, namun apabila tiada satu pun parti boleh membentuk kerajaan, mereka mengambil tanggungjawab untuk segera mewujudkan kestabilan politik dengan melibatkan diri dalam proses pembentukan kerajaan.

“Selepas mengambil kira senario semasa dan mengelakkan Perak berada dalam suasana ketidaktentuan, BN Perak atas dasar untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Susulan itu, kedua-dua pimpinan parti (BN dan PH) pada pagi tadi telah menghadap dan memohon perkenan Sultan Nazrin bagi tujuan pembentukan kerajaan negeri Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Saarani berkata, beliau telah dikunjungi oleh Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada pukul 3 pagi semalam bagi memintanya untuk bertemu dengan Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya yang juga Pengerusi BN Perak, pertemuan dengan Ahmad Faizal telah berlangsung pagi semalam dengan beliau telah memaklumkan mengenai tawaran PH kepadanya.

“Maka pada 10 pagi semalam, sebelum saya hadir mesyuarat Biro Politik, saya berjumpa dengan Ahmad Faizal dan Zainol serta memaklumkan kepada mereka, saya telah pun diberi tawaran peranan itu, jadi jika PN nak buat apa-apa tawaran, silalah. Saya tidak menerima apa-apa tawaran,” katanya.

Pada masa sama, beliau menafikan BN menerima tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH kerana mahukan jawatan Menteri Besar.

“Tidak betul sebab kami bersedia nak jadi pembangkang tetapi apabila ada mana-mana parti yang menawarkan untuk membentuk kerajaan dan memberi peranan untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah tentu saya kena terima.

“Peranan dia (PH) bagi itu sesuai pada saya sebab saya adalah orang yang menerajui Pelan Perak Sejahtera 2030. Saya nak meneruskannya dan saya terima,” katanya.

Tambahnya berkata, keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH turut dipersetujui oleh Biro Politik UMNO dan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila mereka ditanyakan mengenai perkara itu semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI