fbpx

Saintis temui spesies kuang pupus 140 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Spesies burung kuang itu kali pertama dan terakhir ditemui pada 1882. - Asia Research News

PORT MORESBY, Papua New Guinea – Sejenis burung yang dianggap telah pupus selama 140 tahun, ditemui semula di kawasan hutan Papua New Guinea, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Burung kuang dinamakan black-naped pheasant-pigeon itu didokumentasikan oleh saintis untuk kali pertama dan terakhir pada 1882, demikian menurut organisasi bukan bermotifkan keuntungan, Re:wild yang membiayai usaha pencarian.

Pasukan ekspedisinya melakukan pencarian selama sebulan di Pulau Fergusson dalam Kepulauan D’Entrecasteaux, timur perairan Papua New Guinea di mana burung itu pada asalnya ditemui.

Mereka terdiri daripada kakitangan tempatan Muzium Nasional Papua New Guinea dan pasukan saintis antarabangsa daripada Makmal Ornitologi Cornell dan Pemuliharaan Burung Amerika.

Keadaan muka bumi Pulau Fergusson yang bergunung-ganang menjadikan ekspedisi amat mencabar bagi pasukan itu. Ramai penduduk tempatan memberitahu bahawa mereka tidak pernah melihat burung itu sejak beberapa dekad lalu.

Dua hari sebelum kumpulan saintis berkenaan meninggalkan pulau tersebut, sebuah kamera berjaya merakam burung yang amat jarang ditemui itu.

“Selepas sebulan mencari, melihat gambar pertama burung kuang ini terasa seperti menemui seekor unicorn (kuda mitos).

“Ini adalah detik yang diimpikan sepanjang hidup sebagai ahli pemuliharaan dan pemerhati burung,” kata ketua ekspedisi dan pengarah program burung  agensi Pemuliharaan  Burung Amerika, John C. Mittermeier.

Saintis hanya mengetahui sedikit mengenai burung itu. Mereka percaya populasinya kecil dan semakin berkurang. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI