fbpx

PRU15: Kekecohan di Tanah Merah tiada kaitan pengundi luar tuntut wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video kejadian kekecohan di Tanah Merah yang tular menerusi aplikasi TikTok hari ini.

KOTA BHARU – Insiden kekecohan yang berlaku di Tanah Merah dekat sini hari ini sehingga video kejadian itu tular di media sosial tiada kaitan dengan pembahagian wang kepada pengundi luar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebaliknya, insiden itu berlaku melibatkan masalah dalam kalangan ahli dan penyokong parti politik.

Menurutnya, selain itu, kejadian tersebut juga tidak berlaku di premis yang terlibat dengan proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Berhubung kejadian yang tular di media sosial, polis mengesahkan ia tiada kaitan dengan proses pembuangan undi.

“Hasil daripada tindakan awal pihak polis dan perbincangan sesama mereka, perkara tersebut telah dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, polis akan tetap menjaga keamanan dan ketenteraman awam bukan sahaja melibatkan semasa proses pilihan raya.

Menurutnya, polis akan bertindak terhadap kejadian yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam bagi mengelakkan sebarang perkara yang lebih serius.

Terdahulu, tular di TikTok beberapa video yang memaparkan kejadian orang ramai menyerbu sebuah premis, namun mereka dihalang daripada memasuki kawasan tersebut.

Insiden itu menyebabkan seorang wanita pengsan apabila mereka berasak-asak untuk masuk ke dalam premis berkenaan.

Berdasarkan komen dan keterangan pada video tersebut, kejadian dipercayai berlaku semasa pengundi luar dari Parlimen Tanah Merah pulang ke kampung datang untuk menuntut wang daripada sebuah parti politik yang berjanji untuk memberikan imbuhan tersebut kepada mereka apabila pulang mengundi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI