fbpx

Tragedi MH17: Malaysia berpuas hati dengan keputusan Mahkamah The Hague

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Pesawat MH17 jenis Boeing 777 milik Malaysia Airline yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini menyatakan sokongan dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Daerah The Hague di Belanda yang memutuskan bahawa tiga orang tertuduh berkait tragedi pesawat MH17 bersalah dalam kes jenayah tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan kes jenayah di Belanda itu menjadi satu tanda aras penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada semua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab dan sehubungan itu menyokong penuh keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague hari ini.

“Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli pasukan penyiasat bersama yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga juga waris mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan Mahkamah The Hague mensabitkan kesalahan terhadap tiga individu dan membebaskan seorang lagi atas tuduhan menembak jatuh Penerbangan Malaysia, MH17 di ruang udara Ukraine pada 2014.

Rakyat Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko didapati bersalah kerana membunuh dan dengan sengaja menembak jatuh pesawat tersebut.

Seorang lagi suspek warga Russia, Oleg Pulatov pula telah dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh dalam sabitan kesalahan tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selain turut diperintahkan membayar sekurang-kurangnya €16 juta (RM75.26 juta) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI