fbpx

Empat mesin pemotong, pengorek percepatkan dalamkan Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham (dua depan) ketika meninjau perkembangan projek mendalamkan dan melebarkan Sungai Klang di Kota Kemuning,baru-baru ini. - Foto MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Empat buah mesin pemotong atau pengorek berskala besar akan digunakan bagi mempercepatkan projek melebar serta mendalamkan Sungai Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, setakat ini hanya satu mesin digunakan dengan tiga lagi akan diperoleh secara berperingkat dengan terawal minggu depan yang akan diletakkan di muara sungai tersebut.

Katanya, projek mendalamkan Sungai Klang adalah antara pelan dibawah Skim Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) bagi mengatasi masalah banjir secara holistik bersama pengurusan kolam, tasik, sungai dan bekalan air ketika kemarau.

“Kaedah atau kerja pengorekan yang betul perlu dilakukan bagi mengelakkan tebing sungai akan runtuh.

“Permasalahan kita sekarang cuma sampah sahaja yang penuh di sungai tersebut dengan kelmarin didapati mesin digunakan sangkut beberapa kali,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah akan dilaksanakan susulan projek di Sungai Klang itu mengambil masa akibat sampah sarap.

Justeru, Izham berharap orang ramai mempunyai kesedaran tinggi dari segi pembuangan sampah bagi mengelakkan banjir.

“Baru-baru ini, pam air di Kota Kemuning rosak dan kita dapati ada seluar jeans tersangkut pada peralayan tersebut. Ada orang cakap kenapa tidak letakkan perangkap sampah untuk lindunginya namun perangkap itu juga telah dipenuhi sampah sehingga air tidak boleh masuk.

“Malah, di Taman Sri Muda kita meletakkan mesin pengorek untuk membuang sampah yang tersangkut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau mengakui dana menjadi masalah utama dengan peruntukkan RM4 billion daripada Kerajaan Persekutuan hanya diberikan selepas banjir besar tahun lalu.

“Kita telah minta lama untuk Sungai Langat, Sungai Damansara dan Meru dengan kita telah mengetahui kawasan mana banjir dan apa puncanya.

“Namun, kita berusaha meminimakan sebahagian besar masalah banjir ini susulan terdapat benda kita tidak boleh kawal iaitu taburan hujan dan pertembungan dengan air laut (pasang),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI