GEORGE TOWN – Rata-rata pengguna di negeri ini mengeluh apabila mendapati nasi lauk campur di gerai-gerai jalanan naik harga menjelang hari mengundi Sabtu ini.
Tinjauan Kosmo! di premis di kawasan Parlimen Balik Pulau dan Timur Laut mendapati, hampir sebahagian besarnya mengalami kenaikan mendadak berbanding dua minggu lalu.
Seorang pengguna, Aina Adam, 38, berkata, belum pun reda isu harga dan kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini kini timbul pula masalah kenaikan harga makanan di gerai jalanan dan juga premis.
Menurutnya, perkara ini disedari ketika mengunjungi beberapa premis sepanjang minggu lalu termasuk pada hujung minggu.
“Rata-rata pengusaha kedai makan dikatakan telah naikkan harga makanan. Bayangkan, sepinggan nasi putih berharga RM2 dan dicampur dengan sehiris daging masak kicap, harganya adalah RM9.50 berbanding RM6 ke RM 6.50 sepinggan sebelum ini.
“Bukan setakat itu, nasi putih dengan gulai ikan jenahak bersaiz tidak sampai setengah tapak tangan bersama sambal belacan pula dikenakan caj RM10.90 sepinggan.
“Memang ‘cekek darah’ betul. Nak (hendak) tak mau (tidak mahu) memang kena bayarlah sebab lauk sudah terhidang atas pinggang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Aina berkata, ada pengusaha tempatan mendakwa yang mereka kini tidak memang tangan menerima kunjungan dalam kalangan pelanggan daripada jentera parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain berdepan kenaikan kos barangan mentah.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan, Faizal Rashid, 36, pula berkata, dia juga terkesan dengan kenaikan harga menu hidangan petang bagi sebekas nasi lemak dengan kuah sambal serta sebiji telur rebus dijual pada harga RM4.50.
“Harga memang tidak masuk akal. Memang (peniaga) dilihat sengaja meletakkan harga luar kawalan. Saiz hidangan sama dengan sebungkus nasi lemak masa waktu pagi berharga RM1.50 cuma bezanya adalah saiz telur sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan di premis menjual minuman bancuh juga mendapati berlaku kenaikan pada harga minuman bungkus dan cawan ketika ini.
“Sebungkus minuman teh ‘o’ ais kini dijual pada harga RM1.80 hingga RM2 berbanding sebelum ini hanya RM1 hingga RM1.60 sahaja.
“Bukan itu sahaja, harga minuman bagi sebungkus teh ais juga didapati naik sehingga RM3 bagi yang plastik bersaiz besar, manakala bungkusan plastik biasa dijual RM2.20. Harga tidak sama sekiranya minum di kedai iaitu kurang 20 sen,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE















