fbpx

Setia jaga isteri terlantar sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azari (kiri) dan anak-anaknya menguruskan Anizahanum yang terlantar akibat diserang angin ahmar di Pangsapuri Desa Latania, Shah Alam.

SHAH ALAM – Lima bulan terlantar akibat diserang penyakit angin ahmar, namun Anizahanum Hashim, 53, tidak keseorangan apabila dia mendapat sokongan daripada suami yang setia di sisi menjaganya.

Malah, Mohd. Azari Marjono, 48, sanggup berhenti kerja sebagai buruh binaan demi memastikan keperluan isterinya terjaga.

Menurut Mohd. Azari, sebelum ini, dia menerima pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan selain dibantu isteri yang bekerja butik di sebuah pusat beli-belah di daerah ini bagi menampung keperluan tiga anak mereka berusia 12 hingga 16 tahun.

Lelaki itu memberitahu, kea­daan kesihatan isterinya berubah 360 darjah membuatkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

“Duit simpanan kami hampir susut kerana dibelanjakan untuk membeli peralatan dan ubat-ubatan.

“Kadangkala anak-anak saya juga tidak ke sekolah kerana membantu menjaga ibu mereka jika saya mempunyai urusan di luar,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di rumahnya di Seksyen 36, di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd. Azari berkata, keperluan bulanan iste­rinya mencecah RM2,000 termasuk untuk membeli susu formula, lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

Tambahnya, ketika ini, dia menampung keperluan isterinya dengan mengambil upah menyelenggara kelengkapan sebuah gimnasium pada hujung minggu dengan pendapatan sebanyak RM500.

“Setakat ini, saya sudah memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun semuanya masih dalam proses berikutan perlu mendapat laporan perubatan.

“Bekalan air di rumah juga kerap terganggu dan fokus saya adalah membeli mesin penapis air yang boleh memproses air berkualiti untuk pemulihan secara dalaman bernilai RM5,000,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd.Azari di talian 011-11581003.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI