PETALING JAYA – Seorang pemandu e-hailing berdepan situasi mengejutkan apabila seorang penumpang lelaki didakwa menampar isterinya ketika bertikam lidah mengenai bayaran tambang sebanyak RM7.
Menerusi video rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik di akaun Thread @stanleyloi, kejadian mencemaskan itu berlaku pada pukul 2.42 petang semalam.
Difahamkan, insiden bermula apabila pemandu e-hailing tersebut menghantar pasangan terbabit dan tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM7.
Penumpang dipercayai warga asing kemudian menghulurkan wang kertas RM50, namun pemandu tersebut tidak mempunyai baki mencukupi untuk dipulangkan.
“Saya cakap saya tidak ada duit kecil dan tanya sama ada dia ada Touch ‘n Go (TNG), tetapi dia kata baki tak cukup. Saya fikir kalau tak boleh selesai, saya nak halalkan tambang itu,” katanya.
Jelasnya, dia kemudian menasihati penumpang tersebut supaya menyediakan wang kecil bagi memudahkan urusan bayaran tambang pada masa akan datang.
“Saya cakap baik-baik kalau tambang RM7 mungkin boleh sediakan RM10 atau RM20 supaya tak menyusahkan pemandu, tapi dia marah serta mengamuk dan tanya ‘adakah saya tak ada duit nak bayar?’,” katanya.
Menurutnya, lelaki tersebut mendakwa isu wang baki adalah masalah pemandu bukannya tanggungjawab pelanggan.
Dakwanya, keadaan menjadi lebih tegang apabila penumpang terbabit yang memangku bayi secara tiba-tiba meninggikan suara sebelum isterinya cuba menenangkan keadaan.
“Apabila isterinya cuba masuk campur untuk meredakan keadaan, dia terus maki dan tampar isterinya. Masa itu saya memang hilang sabar. Nak bergaduh itu satu hal, tapi kenapa sampai pukul isteri?” katanya.
Menerusi video rakaman tersebut, pemandu itu dilihat tidak dapat menahan kemarahannya sebelum mengarahkan lelaki terbabit keluar dari kenderaannya.
Disebabkan pertengkaran berlanjutan sambil ditenangkan si isteri, pemandu tersebut bercadang membuat laporan kepada pihak Grab berhubung insiden tersebut.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki tersebut kerana melibatkan keganasan terhadap wanita.
“Lega sangat anda (pemandu) bertegas untuk melindungi wanita. Depan orang dah baran macam tu, kalau di belakang macam manalah,” kata seorang pengguna.
“Kasihan tengok bayi dapat bapa baran. Tengok muka dah tahu warga asing, naik ‘tocang’ pula dengan orang Malaysia,” komen pengguna lain pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads















