fbpx

Lebih 5,000 bakal terima manfaat Program Kasih@SMILE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina ketika berucap pada Majlis Perasmian Program KASIH@Smile sempena Bulan Keluarga Malaysia Tahun 2022 di Taman Putra Perdana, Puchong hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUCHONG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjangkakan lebih 5,000 orang bakal menerima manfaat daripada program Kasih@SMILE sempena Bulan Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung di Dewan Komuniti Putra Perdana di sini hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program itu bertujuan memperkenal dan menyampaikan perkhidmatan kementerian kepada rakyat juga pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar selain menyemarakkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia.

“Kementerian melalui Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) telah menyusun atur pelbagai acara bagi Hari Keluarga Malaysia disambut dan diraikan di peringkat negeri juga daerah sepanjang bulan ini.

“Justeru program ini diharap dapat memberikan suasana lebih ceria kepada penduduk di Puchong Perdana serta kawasan sekitar selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya ketika berucap pada program Kasih@SMILE sempena Bulan Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.

Rina turut menyampaikan sumbangan sebanyak 1,000 topi keledar kepada kanak-kanak yang memerlukan dalam komuniti sebagai salah satu agenda utama kementerian iaitu mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan golongan tersebut.

Selain itu, antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah ‘talk show’ personaliti dan pakar kekeluargaan, pameran dan perkhidmatan, e-Sukan dan aktiviti sukan ‘indoor’ serta program kerohanian.

Rina berkata, ‘kick-off’ Bulan Keluarga Malaysia kali ini disambut di negeri Selangor berikutan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negeri tersebut mencatat indeks kebahagiaan paling rendah berbanding negeri-negeri lain iaitu 5.74 peratus.

“Usaha untuk mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan serta setiap individu.

“Justeru saya berharap Bulan Keluarga Malaysia ini akan turut diraikan oleh semua pihak agar semua institusi keluarga dan masyarakat di negara ini terus sejahtera,” ujarnya.

Program Kasih@SMILE merupakan kerjasama antara dua kementerian iaitu KPWKM dan Kementerian Belia dan Sukan yang dianjurkan bersempena Bulan Keluarga Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI