fbpx
Rais Yatim.

Rais Yatim dilantik Pengerusi Wawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengumumkan barisan kepimpinan pusatnya yang diterajui gabungan tokoh politik berpengalaman, bekas menteri, ahli Parlimen serta golongan profesional.

Menerusi senarai lantikan yang dikeluarkan parti itu, pengasas Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden, manakala jawatan Pengerusi disandang bekas menteri dan tokoh politik veteran, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Jawatan Timbalan Presiden pula diberikan kepada bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang.

Bagi jawatan Naib Presiden, Wawasan menampilkan lima nama iaitu bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon, selain Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan.

Dalam masa sama, dua bekas pemimpin Bersatu yang sebelum ini dipecat turut diberikan peranan penting apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Turut diumumkan ialah pelantikan Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof sebagai Setiausaha Eksekutif dan Datuk Arifin Tobias sebagai Bendahari Agung.

Wawasan turut menamakan 25 Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat termasuk Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair Ayob, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.

Untuk rekod, Hamzah mengumumkan penubuhan Wawasan sebagai platform rasmi Gerakan Reset pada 13 Jun lalu ketika Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.

Senarai yang dikeluarkan parti itu turut memaparkan nombor pendaftaran rasmi Wawasan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), iaitu PPM-004-07-08062009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN