fbpx

Dua warga Thailand ditahan bawa pistol seludup syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Romli (tiga kiri) bersama pegawainya menunjukkan pistol dan sebahagian syabu yang dirampas susulan penahanan dua suspek warga Thailand di perairan Perlis, malam semalam

KUALA PERLIS – Sindiket penyeludupan syabu semakin berani apabila dua suspek warga Thailand didapati membawa senjata api ketika cuba menyeludup 10 kilogram (kg) dadah itu menerusi perairan negeri ini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan dua suspek menyeludup syabu menggunakan bot kayu jenis ekor biawak.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat sebuah bot kayu enjin bergalah tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.

“Bot itu didapati dalam keadaan bergelap dan sedang bergerak memasuki perairan Perlis dari negara jiran.

“Sebuah bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan diatur gerak ke lokasi dan bertindak mengejar bot suspek selama kira-kira 10 minit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, bot dinaiki dua lelaki berusia 32 dan 50 tahun yang mempunyai hubungan persaudaraan itu berjaya ditahan di kedudukan kira-kira 14 batu nautika dari barat laut Kuala Perlis.

“Pemeriksaan menemui satu guni berisi 10 bungkusan teh mengandungi 10 kg syabu bernilai RM500,000 disembunyikan di ruang bawah bot.

“Kita turut menemui sepucuk pistol model Colt’s Government bersama satu kelopak berisi lima butir peluru hidup di dalam sebuah beg ,” ujarnya.

Menurutnya, suspek mendakwa diberi upah untuk menyeludup syabu dipercayai untuk pasaran di Pulau Langkawi dengan jumlah dadah dirampas boleh digunakan lebih 50,000 penagih dadah.

“Kita percaya suspek akan memindahkan bekalan dadah ini kepada bot lain, namun tidak sempat,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya juga pertama kali membuat rampasan senjata api daripada penyeludup.

“Kita percaya pistol itu untuk kegunaan penyeludup bagi mempertahankan diri ketika melakukan penyeludupan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI