fbpx

Korban Ebola terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pesakit yang disyaki dijangkiti Ebola berbaring di atas katil di sebuah pusat kesihatan di Mubende, Uganda, 24 September lalu. – AFP

KAMPALA, Uganda – Jumlah kematian akibat wabak Ebola yang diisytiharkan di Uganda pada bulan lalu meningkat kepada 44 orang, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu taklimat akhbar di Geneva bahawa terdapat 60 kes disahkan dan 20 kes disyaki bersama  44 kematian serta 25 pesakit yang pulih.

“Kami bimbang mungkin terdapat lebih banyak rantaian penularan  dan lebih banyak kontak berbanding bilangan yang kami ketahui,” tambahnya.

Angka kematian sebelum ini yang disediakan oleh WHO pada 5 Oktober lalu ialah 29 kematian.

Minggu lalu, Presiden Yoweri Museveni mengarahkan perintah berkurung dikuatkuasakan di dua daerah di tengah Uganda yang menjadi pusat penularan wabak demam berdarah Ebola. Beliau juga mengarahkan larangan perjalanan dan penutupan tempat awam.

Museveni sebelum itu  telah mengarahkan supaya pengamal perubatan tradisional  berhenti merawat orang dalam usaha untuk mencegah penularan penyebaran virus Ebola.

Beliau juga mengarahkan polis supaya menangkap sesiapa yang dijangkiti Ebola dan melakukan kuarantin kendiri.

Pihak berkuasa berkata,  wabak Ebola masih tertumpu di daerah  Mubende dan Kassanda serta belum sampai ke Kampala, walaupun sepasang suami isteri disahkan positif Ebola  di ibu negara Uganda berkenaan.

Tedros berkata kelmarin bahawa  dua kes Ebola dari Mubende kini menerima rawatan di Kampala sekali gus meningkatkan risiko penularan di bandar yang didiami 1.5 juta penduduk itu.

Ebola merebak melalui cecair badan  dengan gejala biasa ialah demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit.

Wabak itu sukar dibendung, terutamanya dalam persekitaran bandar.

Kematian terakhir yang direkodkan di Uganda akibat wabak Ebola ialah pada 2019. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI