Dikenali sebagai ikan loma, ikan sungai ini cukup terkenal dengan keenakannya apabila dijadikan ikan pekasam atau digoreng bersama kunyit dan garam sehingga garing.
Malah, pekasam ikan loma ini merupakan antara menu yang wajib anda cuba sekiranya ke Gerik mahupun Lenggong, Perak. Tambah menarik, anda boleh membawa pulangnya sebagai cenderahati.
Namun, tidak ramai tahu di sebalik keenakan ikan pekasam ini, terdapat sebatang sungai yang menjadi tumpuan penduduk di Gerik untuk menangkap ikan loma apabila tiba musimnya.
Kehadiran ikan itu dengan banyaknya bermula Ogos sehingga November setiap tahun di Sungai Rui sentiasa dinantikan penduduk sekitar Gerik kerana suasana menangkap ikan berkenaan begitu meriah dengan orang ramai berdiri di sepanjang tebing sungai bersama penyauk.
Ada penduduk yang turun seawal pagi dan pulang lewat petang hanya semata-mata ingin menyauk ikan loma untuk dijadikan pekasam dan menjualnya.
Difahamkan, aktiviti menyauk ikan loma ini wujud sejak puluhan tahun lalu dan diteruskan sehingga kini. Aktiviti ini masih diamalkan generasi muda, selain dijadikan sebagai sumber pendapatan penduduk.
Apabila tiba musim ikan loma, bahkan salah satu hari akan dipilih untuk dianjurkan pesta ikan loma dan Panorama berkesempatan mengunjungi pesta tersebut yang berlangsung di Dataran Loma, Sungai Rui pada 25 September lalu.

– ZULFACHRI ZULKIFLI
Bagi penduduk tempatan, Mohd. Termizi Lope, 67, aktiviti menyauk ikan loma apabila tiba musimnya sentiasa ditunggunya sejak kecil lagi kerana itu merupakan antara punca rezeki dan sumber makanan mereka.
Dia yang menetap di Kampung Bersia Lama, Gerik berkata, saban tahun, ikan loma akan mudik dari Sungai Perak memasuki Sungai Rui sebelum berenang ke hulu untuk bertelur bermula Ogos hingga November.
Menurut Mohd. Termizi, sejak puluhan tahun lalu, ikan loma dikatakan hanya akan bertelur di hulu Sungai Rui sebelum kembali ke Sungai Perak.
“Orang dulu-dulu ada beritahu ada lubuk sungai di kaki Gunung Inas di Kampung Malai yang menjadi lokasi ikan loma ini bermain dan bertelur sebelum kembali ke Sungai Perak.
“Jadi, sebab itu ikan loma paling banyak di Sungai Rui setiap bulan Ogos hingga November kerana ikan-ikan ini mudik naik ke atas untuk bertelur,” katanya.
Tambahnya, kebiasaannya ikan loma akan ditangkap menggunakan penyauk yang diperbuat menggunakan jaring halus bersama galah panjang di mana orang ramai akan berdiri di tebing sungai tanpa perlu turun ke dalam sungai.
“Nak menyauk ikan loma ini pun ada caranya, tidak boleh main sauk sahaja. Kita kena berdiri tepi tebing kemudian pegang penyauk lalu dimasukan jaring sauk ke dalam sungai. Kemudian, kita gerakkan ia mengikut arah arus sungai mengalir.
“Kita juga hanya menyauk ikan loma di tepi tebing kerana ikan loma mudik ke atas mengikut bahagian tepi sungai berbanding tengah kerana arus di tepi tidak terlalu deras,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga penduduk menggunakan jala, pukat dan bubu untuk menangkap ikan loma, namun hasilnya tidak sebanyak menggunakan penyauk.
Seorang lagi penduduk tempatan Ahmad Shaari, 62, berkata, meskipun ikan loma mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak antara Ogos hingga November, ikan berkenaan tidak ada setiap hari kerana hanya akan mudik ke atas pada waktu paras air Sungai Rui tinggi.
“Kalau air cetek jangan haraplah ada ikan loma, susah nak tangkap, silap-silap dapat bawa balik dua ke tiga ekor sahaja dan tidak berbaloi.
“Kebiasannya ikan ini hanya akan mudik bila air sungai dalam dan bila kita tahu air sungai dalam adalah dengan melihat hujan turun dua ke tiga hari, maka selepas itu eloklah ke Sungai Rui menyauk ikan loma.
“Masa ini jangan cakaplah, ikan loma memang banyak. Orang ramai akan bersorak setiap kali menyauknya dan memang meriah kerana yang datang menyauk bukan hanya dari Kampung Sungai Rui, malah kampung-kampung lain juga,” katanya.

loma berjaya
ditangkap, ikan tersebut disiang beramai-ramai oleh penduduk-penduduk kampung berhampiran Sungai Rui.
Tambahnya, setiap kali sauk diangkat ketika ikan loma banyak di dalam sungai, mereka mampu menangkap antara lima ke sepuluh kilogram (kg) sekali sauk.
“Saya pernah dapat 120kg ikan loma dalam masa sejam sahaja menyauk dan memang gembira rasanya sebab boleh bawa balik buat pekasam untuk dijual, manakala sedikit lagi dibuat makan.
“Itulah yang dilakukan penduduk di sini, ada yang tangkap untuk buat makan, ada yang buat pekasam dan jual serta ada yang tangkap untuk dijual kepada peniaga-peniaga pekasam,” katanya.
Tambahnya ikan loma yang ditangkap biasanya dijual pada harga RM3 hingga RM5 sekilogram berbanding ikan pekasam di mana harganya mampu mencecah puluhan ringgit sekilogram.
“Bila tiba musim loma, kami memang akan tangkap banyak untuk dibuat pekasam kerana ikan ini tidak ada sepanjang tahun. Jadi kalau dapat tangkap, kami akan tangkap banyak-banyak.
“Ikan loma bila buat pekasam ia akan tahan lama, jadi bekalan pekasam ikan loma ini akan ada sepanjang tahun untuk kami jual kepada orang ramai,” katanya.
Menurut Ahmad, ikan loma kebiasaannya dijadikan pekasam kerana tulangnya yang banyak serta halus berbanding dimasak gulai, terutama jika saiznya kecil.
Bagaimanapun Ahmad berkata, jumlah ikan loma di Sungai Rui kini semakin berkurangan dan saiznya tidak sebesar semasa dirinya menangkap ikan tersebut ketika berusia belasan tahun.
“Terdapat pencemaran di Sungai Rui dan perkara ini kami telah bangkitkan dan harap ada tindakan tegas diambil kerana jika tidak, lama-kelamaan ikan loma ini pasti berkurangan dan menjejaskan pendapatan kami.
“Kami juga berharap agar jabatan perikanan dapat mengambil inisiatif agar benih ikan loma dilepaskan di Sungai Rui bagi menambah populasi ikan ini,” katanya.
















