fbpx

Bekas pengurus kanan MAHB didakwa gagal lapor rasuah RM90,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkeflee ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus kanan komersial Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan gagal melaporkan sogokan suapan keseluruhan RM90,000 diberikan kepadanya untuk projek sewaan ruang legar empat lapangan terbang di negara ini antara tahun 2011 hingga 2012.

Tertuduh, Zulkeflee Abdullah, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Zulkeflee didakwa gagal melaporkan penyogokan wang rasuah berjumlah keseluruhan RM90,000 menerusi sembilan transaksi cek daripada seorang lelaki berusia 63 tahun yang merupakan pengurus syarikat barangan kemas di sebuah cawangan bank di Subang Jaya bermula 5 April 2011 hingga 13 Ogos 2012.

Ini sebagai dorongan untuk meluluskan dan memperbaharui permohonan sewaan tapak perniagaan secara promosi sekitar ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Sibu serta Bintulu di Sarawak selain Lapangan Terbang Labuan.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat menawarkan jaminan RM15,000 bersama penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran.

Zulkeflee yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan ekoran tidak lagi bekerja dan isteri hanya bekerja sebagai pengasuh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua permohonan termasuk pihak pendakwaan termasuk syarat tambahan.

Sebutan semula kes pada 16 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI