fbpx
ASET-ASET TLDM seiring merentasi samudera bagi menghadapi ancaman di laut.

Eksesais uji TLDM siap siaga pertahan perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said

Berdebar dan sentiasa berkeringat. Inilah gambaran tepat perasaan yang membelenggu setiap warga The Navy People apabila masa yang ditunggu semakin hampir.

Eksesais KERISMAS, nama keramat yang penuh kemegahan dan digeruni setiap warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Tidak hanya mencetus kegusaran kepada setiap pegawai, malahan adrenalin setiap anggota kapal turut meningkat tatkala eksesais ini mula membuka tirai.

Bagi setiap individu yang pernah menyertai eksesais tahunan ini, pastinya teruja untuk berkongsi cerita tentang pengalaman yang dilalui.

Ini kerana, eksesais mega ini sangat menuntut komitmen The Navy People yang menyertainya untuk bersiap siaga tanpa mengira masa.

Malahan, ada juga yang tidak lagi dapat membezakan siang dan malam akibat pengisian evolusi yang gencer.

Eksesais tahunan TLDM berskala besar ini menggabungkan aset-aset daripada Armada Barat dan Armada Timur.

Objektif utama eksesais ini adalah untuk mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset serta menguji kecekapan warga TLDM dalam mengendalikannya.

Bagi tahun ini, Armada Timur akan menjadi kawasan pelaksanaan eksesais.

Bermula 29 September hingga 23 Oktober ini, para peserta eksesais akan berkampung di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dan latihan fasa di Laut berlangsung di Laut China Selatan.


SEBAHAGIAN warga The Navy People berkongsi idea dalam mengatur strategi sebelum menjalani fasa latihan laut.

Eksesais terbesar ini turut menguji barisan kepimpinan di kapal kerana slot Chief of Navy Inspection (CINSPEC) iaitu siri penilaian dan pemeriksaan kesiagaan oleh Panglima Tentera Laut turut dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM.

Antara aspek diperhalusi dalam penilaian adalah keupayaan ketahanan atau sustainability elemen platform, people and process.

Sepanjang eksesais dan CINSPEC, peserta terutamanya warga kapal sewajarnya tampil terbaik dan mengikut standard piawaian ditetapkan.

Mengimbau kembali sejarah pelaksanaan eksesais ini, ia berubah mengikut peredaran masa dan kemampuan ekonomi negara. Setelah dianjurkan semula pada 2014, eksesais ini terus diberi pendekatan berbeza.

Bermula 2015 sehingga 2018, ia dikenali sebagai Eksesais ANGSA, gabungan Eksesais KERISMAS dan Eksesais ANGKASA RAYA melibatkan aset-aset TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penggabungan ini bertujuan menjimatkan kos latihan, selain me­ningkatkan efisiensi dalam penggunaan aset kedua-dua angkatan pertahanan itu.

Namun, pada 2019, berdepan masalah keusangan aset, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany mengarahkan untuk Eksesais ­KERISMAS dan CINSPEC dilaksanakan secara intra TLDM. Ia bagi mengukur kesiagaan TLDM pada tahun pertama pemerintahan beliau.

Kesinambungan itu, Eksesais ­KERISMAS dan CINSPEC 2019 berjaya terlaksana walaupun hanya dengan penglibatan 11 buah kapal TLDM di sekitar perairan Tioman, Pahang.

Cabaran besar TLDM pada ketika itu bagaimana mengoptimumkan aset-aset terlalu berusia yang sepatutnya ditamatkan tauliah kerana melepasi tempoh perkhidmatan dan senggaraan.

Untuk rekod, sehingga kini, dianggarkan hampir 75 peratus jentera utama kapal-kapal TLDM telah melepasi tempoh penggunaan dan senggaraan selamat.

Berikutan hasil penemuan dan penilaian daripada Eksesais KERISMAS dan CINSPEC 2019, keutamaan To Float and To Move telah diterapkan oleh pengurusan tertinggi TLDM bersesuaian dengan jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan yang diterima daripada kerajaan.

Tujuan utama konsep ini adalah untuk menyediakan aset TLDM yang mampu menggalas tugasan operasi secara optimum dengan kekangan aset dan peruntukan sedia ada.
Pada masa sama, isu kompetensi warga kapal turut diberikan penekanan oleh pengurusan tertinggi TLDM.

Ia setelah hasil penilaian jelas me­nunjukkan, kompetensi warga juga pada tahap kritikal selepas banyak platform tidak mampu beroperasi pada tahap optimum. Pelbagai usaha dalaman telah dila­ksanakan bagi mencapai aspirasi pengurusan tertinggi TLDM.

Antaranya, pelaksanaan program repowering kapal-kapal pembinasa laju dan kapal ronda, melibatkan hampir ke­seluruhan sistem kuasa gerak kapal ditukar baharu.

Ia untuk melaksanakan proof of concept sistem combat managament system yang dibangunkan di dalam negara, perolehan aset-aset baharu seperti littoral mission ship, fast interceptor craft, helikopter operasi maritim AW139 dan unmanned aerial system scaneagle.


ANGGOTA anggota Paskal tangkas bergerak bagi melaksanakan misi bantuan sokongan dalam evolusi menyelamat mangsa.

Manakala bagi meningkat kompetensi warga kapal TLDM, beberapa eksesais berskala kecil menjadi rutin mingguan, bulanan dan suku tahun oleh Armada Barat dan Timur.

Penilaian kompetensi warga kapal juga dilaksanakan dengan sistematik menggunakan kaedah penilaian kad skor bagi setiap kapal untuk memantau kemajuan dan kecekapan warga kapal.

Justeru, Eksesesais KERISMAS 27/2022 dan CINSPEC 2022 akan menjadi medan bagi pengurusan tertinggi TLDM melihat di tahap mana armada berada.

Pada masa sama, eksesais kali ini akan menjadi saksi sama ada aspirasi yang digariskan iaitu To Float dan To Move berjaya dicapai atau sebaliknya.

Bagi eksesais kali ini, 23 buah kapal, sebuah kapal selam serta penglibatan hampir 2073 personel termasuk elemen Pasukan Khas Laut (Paskal) terlibat secara langsung.

Kendatipun dihimpit isu kapal kian keusangan dan menua ini, TLDM terus menyandar impian dan harapan kepada kepimpinan kerajaan Malaysia dalam merealisasikan perolehan aset-aset baharu bagi memperkasa peranannya.

Dengan sokongan serta perhatian diberikan, terutamanya oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan kepada TLDM, pastinya inisiatif pertahanan negara ini tidak hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.

Jurang keupayaan peperangan TLDM yang kurang setaraf berbanding angkatan negara serantau pasti dapat diubah dengan jaminan kerajaan bahawa program littoral combat ship (LCS) akan diteruskan, selain TLDM juga berhasrat agar program perolehan kapal misi pesisir (LMS) edisi kedua dapat dinyatakan dalam masa terdekat.

Dengan penambahbaikan ke atas sistem persenjataan dan penderia terbaharu, LMS edisi kedua dijangka lebih tangkas dan berkeupayaan berbanding LMS sedia ada.

Di samping itu, pembangunan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu perlu disegerakan mengambil kira keperluan operasi dan geostrategik serta menjamin kedau­latan Zon Maritim Malaysia ketika ini.

Kehadiran angkatan laut Malaysia di perairan Laut China Selatan sepanjang Eksesais KERISMAS 27/2022 ini, pasti memberi impak positif serta keyakinan kepada komuniti maritim bahawa TLDM sentiasa komited dan bersemangat dalam memelihara kedaulatan Malaysia.

Laksamana Pertama Dr. Najhan Md. Said ialah Pengarah Eksesais KERISMAS 27/22

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN