fbpx

349 mesin bitcoin bernilai lebih RM2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Razib (kiri) bercakap pada sidang akhbar Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung rampasan peralatan perlombongan bitcoin bernilai RM2 juta di Putrajaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Lima buah premis tidak berpenghuni yang dijadikan lubuk melombong bitcoin menggunakan sambungan bekalan elektrik secara haram diserbu menerusi Op Renjat di sekitar Kajang, kelmarin.

Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) dan turut disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif ST, Ir. Ts. Abdul Razib Dawood berkata, sebanyak 349 unit mesin bitcoin termasuk cakera keras, wayar dan kipas yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta berjaya dirampas menerusi operasi tersebut.

Ujar beliau, perlombongan bitcoin berkenaan turut mengakibatkan pihak utiliti mengalami kerugian melebihi RM1.3 juta berikutan sambungan pintasan haram secara terus tanpa melalui meter.

“Operasi ini dijalankan ekoran aduan diterima daripada pengguna yang kerap mengalami gangguan bekalan elektrik dan hasil intipan kira-kira sebulan yang dijalankan oleh ST bersama TNB di kawasan tersebut.

“Diingatkan bahawa kegiatan mencuri elektrik oleh pihak tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan masalah gangguan bekalan dan juga memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, ketika serbuan dijalankan tiada seorang pun individu di dalam kesemua premis berkenaan dan siasatan akan dijalankan berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu melibatkan pemilik bangunan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI