fbpx

Hasil busana elegan, sokong fesyen mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Potongan baju yang ringkas namun elegan sesuai digayakan pada apa jua acara

FESYEN merupakan industri  kedua di dunia yang paling banyak menyumbang kepada sisa buangan, menjadikan barisan pereka fesyen sama ada dari dalam atau luar negara sentiasa berusaha untuk menghasilkan fesyen yang bersifat mampan.

Sebuah jenama tempatan, Zora Designers yang diasaskan oleh dua pereka wanita berbakat mahu ke arah penghasilan fesyen lebih mampan dengan memberi penekanan terhadap koleksi pakaian bersifat ‘made to measure’ dan pakaian siap dipakai atau ‘ready to wear’ (RTW) namun dalam jumlah yang kecil.

Pengarah Kreatif Zora yang hanya mahu dikenali sebagai Pamela berkata, baju yang hanya disiapkan bersama tempahan lazimnya mengurangkan masalah sisa buangan, sekali gus menjadikan ia pilihan yang lebih baik dalam mengurangkan pencemaran bahan buangan yang diakibatkan industri fesyen.

“Zora diasaskan pada 2020 oleh saya dan Marian Hanyun yang bertindak sebagai ketua pereka dengan matlamat merevolusikan industri fesyen.

“Masalah overproduction atau lebihan hasilan pakaian yang dialami industri fesyen dunia cukup hangat diperkatakan dan Zora berhasrat mahu mewujudkan fesyen yang lebih bersifat sederhana menerusi konsep tempahan, selain tidak menyimpan stok yang banyak bagi koleksi RTW,” ujarnya.

Tambah Pamela, pakaian jenis tempahan juga memberikan kelebihan kepada pemakai apabila boleh memilih sendiri jenis fabrik, rekaan dan juga saiz yang lebih sesuai dengan tubuh dan cita rasa sendiri.

Bagi koleksi RTW, Zora mengekalkan rekaan yang ringkas namun bersifat evergreen.

Rekaan dres berpotongan longgar dengan motif taburan bunga-bunga kecil menjadi signatur Zora dengan koleksi RTW pertamanya yang dilancarkan Julai lalu.

Potongan baju yang ringkas dengan penggunaan fabrik beralun menjadikan koleksi RTW Zora tampak ekslusif dan sesuai digayakan sama ada bagi acara kasual mahu pun acara formal.

Akui Pamela, kebanyakan rekaannya juga bersifat romatis dengan pemilihan fabrik rona lembut seperti putih dan merah jambu.

Rona-rona lembut menyerlahkan sisi romantis si pemakai.

Sehingga kini, Zora sudah pun menghasilkan sebanyak empat koleksi dan koleksi Aidilfitri yang lalu merupakan antara koleksi kami yang paling mendapat sambutan.

Ditanya tentang inspirasi di sebalik setiap rekaannya, Pamela berkata setiap koleksi diinspirasikan daripada alam sekitar.

“Kebanyakan inspirasi rekaan adalah daripada alam semula jadi dan juga keinginan yang kuat dalam diri kami dalam penghasilan fesyen mampan.

“Justeru, bagi koleksi-koleksi seterusnya, kami masih mahu mengekalkan estetika sama namun sebagai pereka, sudah tentu kami masih terbuka untuk menerima idea baharu.

“Kami juga mempunyai barisan jenama dan juga personaliti lain yang bakal menjalin kerjasama dengan Zora dan kami menganggapnya sebagai peluang terbaik untuk meneroka idea berbeza,” ujar Pamela.

Kesemua koleksi Zora boleh dibeli menerusi laman web www.zoradesigners.com atau dengan mengunjungi butik kami di Chow Kit untuk mencuba dan merasai sendiri kualiti fabrik Zora.

Harga pakaian Zora bermula daripada RM199 sehingga RM429.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI